Kanak-kanak dahulu kreatif untuk
menggunakan sumber di sekeliling untuk dijadikan permainan. Salah satu yang
dijadikan gelanggang permainan ialah tiang.
Permainan rebut tiang biasanya
dimainkan oleh kanak-kanak sebagai permainan spontan. Ketika tiada permainan
lain, atau ketika hari hujan, mereka akan bermain berebut tiang.
Permainan mudah sahaja. Asal ada
sekurang-kurangnya tiga tiang, permainan itu boleh dimainkan. Tidak kisahlah
tiang rumah, tiang bendera dan apa sahaja jenis tiang.
Bilangan tiang yang ada akan menentukan
jumlah pemain, iaitu bilangan tiang akan ditambah satu. Contohnya jika bilangan
tiang sebanyak tiga, maka pemainnya adalah empat. Kalau tiang ada lima, jumlah
pemainnya adalah enam. Kalau kawasan itu ada banyak tiang yang melebihi jumlah
pemain, mereka akan akan 'tandakan' tiang yang tidak termasuk dalam permainan.
Tiang akan dianggap 'rumah'. Sesiapa yang
memegang tiang, kedudukannya akan selamat. Namun, mereka tidak boleh selamanya
berada di rumah yang sama. Jadi kenalah bertukar-tukar tiang atau kedudukan. Kalau
tidak ia bukan bermain rebut tiang jika kekal berada di satu tiang sahaja.
Seorang pemain yang tidak mempunyai rumah
akan cuba untuk berebut tiang atau rumah itu. Maka di sinilah perlu strategi
bagaimana dua perumah perlu bijak untuk bertukar-tukar rumah tanpa dapat
direbut oleh yang tidak berumah.
Untuk menentukan siapa dikira tiada rumah,
pemulihan boleh dibuat dengan berbagai-bagai cara seperti tarik lidi, 'O' zon
dan berlari dari satu tempat. Ada juga dengan cara mereka berkumpul pada satu
tempat dan kemudian akan berlari ke arah tiang. Siapa tidak dapat tiang, maka
dialah akan dikira tiada rumah.
Masa dan tempoh permainan tidak ditetapkan.
Tiada siapa pemenang ditentukan. Namun, orang yang tidak berjaya untuk menjadi
perumah dalam tempoh masa yang lama akan berasa kecewa dan mungkin menarik diri
daripada terus bermain. Sebab itu ada yang secara sengaja melakukan 'kesilapan'
agar rumahnya akan dirampas oleh orang lain.
No comments:
Post a Comment