Saturday, 18 November 2023

CARA HILANGKAN RASA MASAM BUAH KELUBI

 
Buah kelubi atau asam kelubi, juga dikenali asam paya sejenis tumbuhan dalam keluarga pokok palma. Pokok kelubi hampir sama dengan pokok nipah tetapi lebih kecil.
 
Pokok kelubi tubuh di kawasan paya hampir sama dengan pokok nipah, tetapi lebih ke darat. Mempunyai buah yang rasanya sangat masam.
 
Kalau hendak dimakan dicicah gula atau garam, ramai yang tidak sanggup merasai masamnya. Jadi cara untuk menjadikan buah kelubi boleh dimakan dengan sedap ialah dengan cara dijeruk.

Buah kelubi yang dijeruk akan kurang kadar rasa masam. Biarpun rasa masam masih ada, ia dikira sedap dimakan dan tidak terlalu masam seperti sebelum dijeruk. 
 
Sebelum dijeruk, buah kelubi terlebih dahulu dikupas kulit. Kulit kelubi lebih tebal berbanding salak. Jadi, elok diguna pisau untuk mengupasnya.
 
Proses menjeruk kelubi dimulai dengan merendam dalam garam untuk semalaman. Kemudian air garam itu dibuang. Masukkan pula air gula atau gula kasar. Gula kasar itu akan mencari sendiri dan membentuk kuah bersama air yang keluar dari buah kelubi.
 
Kalau tidak mahu direndam terlebih dahulu dalam air garam, boleh terus dimasukkan gula.
 
Boleh juga masukkan gula melaka dan cili untuk menambah rasa. Tutup bekas dan simpan untuk beberapa hari. Boleh disimpan pada suhu bilik atau di dalam peti sejuk.
 
Berapa hari perlu dijeruk? Terpulang kepada anda. Biasanya dua atau tiga hari agar air gula meresap masuk di dalam buah kelubi. Buah kelubi jeruk akan sedikit nampak kecut apabila air kelubi keluar hasil proses osmosis. 
 
Selain dimakan isi kelubi, air jeruk boleh dihirup atau diminum. Untuk kurangkan kepekatan, boleh tambah air. Elok jika ditambah dengan ais agar lebih sedap dan menyegarkan.
 
Air jeruk juga boleh digunakan untuk membuat aiskrim Malaysia. Masukkan satu atau dua biji kelubi di dalam plastik aiskrim Malaysia.

No comments:

Post a Comment