Thursday, 30 November 2023

JIN TIDAK MENGETAHUI PERKARA GHAIB

 
Jin terbahagi kepada tiga golongan. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abi Tsa’labah al-Khusyaniy bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jin terdiri daripada tiga golongan. Satu golongan mempunyai sayap dan terbang di udara, satu golongan berbentuk ular dan anjing, manakala satu golongan lagi mendiami sesuatu tempat dan berpindah-randah seperti Arab Badwi.” (Hadis riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (3702) dan al-Tabarani (22/214)

Islam melarang umatnya daripada mengambil atau menggunakan khidmat jin apatah lagi dalam melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak.

Mengambil dan meminta pertolongan daripada jin akan menjadikan mereka lebih bongkak, sombong dan bertambah kejahatannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.” (Surah al-Jin, ayat 6)

Ibn Kathir berkata: “Ketika jin-jin itu melihat bahawa manusia melindungkan diri kepada mereka, maka mereka pun semakin menambahkan rasa takut dan seram serta sifat pengecut sehingga manusia merasa lebih takut dan lebih bersungguh-sungguh dalam melindungkan diri kepada mereka.

Mereka yang cuba untuk mendapatkan khidmat jin biasanya beranggapan bahawa jin mengetahui perkara-perkara ghaib. Sedangkan pada hakikatnya, jin tidak mengetahui perkara ghaib.

Hal ini jelas sepertimana yang berlaku dalam kisah Nabi Sulaiman. Firman Allah yang bermaksud: “Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina. (Surah Saba, ayat 14)

Ibn Kathir berkata: “Nyatalah bagi kita bahawa jin dan manusia tidak mengetahui perihal yang ghaib.

Asbagh berkata: “Telah sampai kepadaku bahawa tongkat itu tegak selama setahun lalu menjadi rapuh dan akhirnya Nabi Sulaiman AS rebah tersungkur. Ini senada dengan ucapan ulama salaf yang lain. Ini menunjukkan jin tidak mengetahui perkara ghaib. Hal ini berdasarkan beberapa riwayat secara marfu’ yang dinyatakannya.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-Azim, 3/638)

Al-Maraghi berkata: “Setelah Kami mewafatkan Nabi Sulaiman AS, sehinggalah jin melihat tongkatnya dihurungi anai-anai barulah mereka mengetahui kewafatannya. Ini disebabkan Nabi Sulaiman wafat dalam keadaan berdiri sambil memegang tongkat sehingga akhirnya tongkatnya hancur di makan anai-anai, barulah baginda jatuh tersungkur. Kemudian barulah jin menyedari sebenarnya mereka tidak mengetahui perkara ghaib dan mereka tetap meneruskan pekerjaan yang diamanahkan oleh Nabi Sulaiman kerana mereka menyangka baginda masih hidup.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/68)

No comments:

Post a Comment