Saturday, 19 September 2026

GUA PUTERI, KAMPUNG PULAI

 
Gua Puteri, Kampung Pulai. Kawasan Gua Musang, Kelantan terdapat beberapa buah gua batu kapur yang menarik. Satu daripada gua tersebut ialah Gua Puteri, Kampung Pulai, terletak kira-kira 14 kilometer dari bandar Gua Musang.

Kampung Pulai adalah petempatan awal kaum Cina di Kelantan Pembukaan kampung tersebut dikatakan bermula dengan kedatangan Orang Cina Hakka lebih 600 tahun lalu yang berhijrah ke kawasan berkenaan untuk mencari emas selain kawasan penempatan baharu.

Generasi demi genarasi Cina tinggal di Kampung Pulai yang turut mewarna kehidupan, adat dan kepercayaan yang diwarisi. Di Gua Puteri yang juga dikenali sebagai Zi Xia Dong (Gua Cahaya Subur) yang menempatkan tokong Cina.

Untuk sampai ke gua tersebut, pengunjung perlu mendaki 178 anak tangga yang dibina khusus dari bawah sehingga ke muka gua. Di dalamnya terdapat ukiran Dewi Guan Yin (Goddess of Mercy) setinggi kira-kira 12 meter yang diukir daripada struktur stalagmit semula jadi yang terbentuk di situ.

Di luar gua tertulis dalam tulis Cina yang bermaksud "Gua Cahaya Subur" atau "Gua Awan Ungu".

Di dalam gua itu dapat dilihat struktur atau bentuk hasil daripada batu kapur yang memukau serta warisan budaya masyarakat setempat.

Dari pintu gua, terbentang panorama indah Kampung Pulai. Penat mendaki juga terasa berbaloi apabila dapat menyaksikan sendiri keunikan khazanah alam. Khazanah sebegini perlu terus dipelihara agar generasi mendatang dapat mengenali dan menghargainya.

Menurut cerita rakyat tempatan, bukit tempat gua ini berada dikenali Bukit Puteri dan gua yang terdapat di bukit tersebut pula dikenali Gua Puteri sempena kisah seorang puteri yang mencari bapanya yang hilang.

Puteri tersebut menemui bapanya sedang bertafakur di dalam gua ini sebelum bapanya meninggal dunia kerana usia tua. Sebagai tanda pengabdian dan kasih sayang yang tinggi, puteri itu membina tempat memperingati bapanya di situ, menjadikan ia lambang pengorbanan anak.  

Kredit pemilik gambar