Thursday, 12 June 2025

TAMAN NEGARA MARIN LUCONIA BETING PETINGGI ALI

 
Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak dan dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.
 
Sarawak telah mewartakan gugusan Beting Patinggi Ali sebagai taman negara marin pada tahun 2018 dan dinamakan sebagai Taman Negara Marin Luconia. Ia merupakan taman negara marin yang terbesar di Malaysia setakat ini.
 
Di sebelah selatan beting (163 hingga 180 km dari pantai Sarawak) ini, terdapat beberapa terumbu seperti Hempasan Bentin, Terumbu Balingian, Beting Merpati, Terumbu Sahap, Sierra Blanca dan Terumbu Saji.
 
Terumbu ini boleh dilihat semasa air surut. Sebelah utara beting (187 hingga 254 km dari pantai Sarawak) ini pula terdiri daripada ciri-ciri seperti Beting Rentap, Hempasan Dang Ajar, Terumbu Permaisuri, Terumbu Lang Ngindang, Terumbu Asun, Terumbu Datuk Landih, Terumbu Linggir dan Terumbu Litong yang sesetengahnya boleh dilihat semasa air surut.
 
Beting Patinggi Ali berkemungkinan menyimpan bukti tamadun Pentas Sunda yang hilang
 
Disebabkan kawasan ini masih belum diterokai sepenuhnya, ia masih menyimpan khazanah alam yang sangat berharga termasuk bukti-bukti arkeologi yang mengaitkannya dengan kewujudan Pentas Sunda yang tenggelam di Laut China Selatan.
 
Menurut ahli arkeologi marin, Kapten Han Berekoven, kawasan beting ini berkemungkinan menyimpan bukti penting berkaitan kewujudan peradaban manusia yang hilang di Pentas Sunda.
 
Peradaban tersebut dianggarkan berusia lebih daripada 12,000 tahun dan berpotensi mengubah sejarah ketamadunan manusia jika dapat dikaji dengan lengkap.
 
Bahkan, ketamadunan di Pentas Sunda boleh dikatakan yang tertua di dunia dan berpotensi merombak kembali garis masa tamadun Mesir Purba, Mesopotamia, Indus, Rom Purba, yang setakat ini tertua dicatatkan adalah berusia lebih kurang 6,000 tahun yang lalu.
 
Beting ini juga pernah menjadi saksi karamnya kapal layar British, Viscount Melbourne, pada 5 Januari 1842. Oleh yang demikian, kawasan ini juga telah diisytiharkan sebagai tapak arkeologi maritim dalam perairan Malaysia oleh Jabatan Muzium Sarawak.
 
Sebelum tahun 2013, kawasan ini adalah kawasan tangkapan popular nelayan laut Miri, malahan juga nelayan asing seperti Vietnam dan Thailand.

No comments:

Post a Comment