Thursday, 12 June 2025

CHINA CUBA MENGUASAI BETING PATINGGI ALI

 
China melalui kehadiran Kapal Peronda Pantai miliknya di kawasan Beting Patingi Ali, dilihat sebagai satu tindakan provokatif dan ingin menguji Malaysia dalam mempertahankan wilayah.

Kawasan Beting Patinggi Ali ini berada di perairan Sarawak dan juga Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (EEZ).

Berdasarkan peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982), negara berpantai (dalam kes ini, pantai di Miri, Sarawak, Malaysia) berhak menuntut kawasan EEZ dan pelantar benua sehingga 200 batu nautika atau 370 kilometer. 

Ini bermakna, Beting Patinggi Ali sememangnya adalah hak milik mutlak negara Malaysia. Ia berada di perairan Sarawak, berada dalam kawasan EEZ Malaysia, dan berkedudukan sejauh 84 batu nautika dari pantai Miri.

Walau bagaimanapun, kawasan sudah dihendap oleh China sejak dari tahun 2013 lagi dan menuntut bahawa mereka mempunyai ‘hak bersejarah’ di kawasan Laut China Selatan termasuklah di kawasan Beting Patinggi Ali.

Tuntutan ini sama sekali tidak berasas kerana kawasan Beting Patinggi Ali ini berada pada kedudukan 2,000 kilometer dari Tanah Besar China, kedudukan yang sangat jauh jika dibandingkan dengan jarak beting ke pantai Malaysia di Miri yang hanya 155 km.

Walau bagaimanapun, tuntutan China ini tidak diperakui di peringkat antarabangsa.

Ini bukan perebutan pertama China di kawasan Laut China Selatan. China sebenarnya menuntut kira-kira 80 peratus kawasan di Laut China Selatan. Wilayah yang mahu dituntut ini dinamakan sebagai wilayah sembilan garis putus-putus.

Wilayah ini terdiri daripada kawasan EEZ beberapa negara termasuklah Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Vietnam dan Taiwan.

China mengintai untuk memiliki Beting Patinggi Ali bukan sahaja untuk memperluaskan sempadan negaranya, tetapi juga disebabkan dasar laut di kawasan beting ini juga mempunyai sumber gas asli dan minyak yang masih banyak dan belum diterokai oleh mana-mana pihak.

Kawasan tersebut mempunyai sumber gas asli, minyak dan hidupan laut yang banyak dan belum digali disebabkan Akta Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia 2006 yang melarang sebarang aktiviti cari gali dilakukan di kawasan tersebut.

Beting ini dikatakan berada di kedudukan paling selatan dalam gugusan Kepulauan Spratly. Difahamkan, beberapa ribu kilometer persegi di bahagian utara dan selatan beting ini sebenarnya mempunyai pentas dasar dengan kedalaman 5 hingga 40 meter di bawah paras laut.

No comments:

Post a Comment