Beca sejenis kenderaan beroda tiga untuk seorang
atau dua penumpang yang dikayuh oleh seseorang. Beca dikayuh pengayuh di sebelah
sisi penumpang. Terdapat juga model beca dengan pengayuh di belakang atau di
hadapan penumpang. Bumbung juga dipasang bagi memberi teduhan kepada penumpang.
Pengayuh beca dipanggil tukang beca atau penarik beca.
Di Kelantan, beca dipanggil ‘teksi’. Ia mengambil
nama perkataan Inggeris ‘taxi’ yakni kereta yang dijadikan pengangkutan awam.
Justeru, ia menggambarkan bahawa beca roda tiga adalah pengangkutan awam
terpenting di Kota Bharu dan bandar-bandar lain di Kelantan pada suatu ketika
dahulu.
Teksi di Kelantan terdiri dari basikal yang
dicamtumkan dengan tempat membawa penumpang berbumbung yang mampu memuatkan
sehingga 2 orang penumpang dan sebilangan kecil barangan peribadi.
Jika tidak membawa penumpang, beca boleh
juga digunakan untuk membawa barangan dari satu tempat ke tempat yang lain. Ia
merupakan pilihan pengangkutan yang dahulunya amat popular.
Beca di Kelantan pada era kegemilangannya digunakan
bagi menghantar kanak-kanak ke sekolah dan suri rumah ke pasar, merangkumi
jarak yang pastinya tidak dapat diterima akal pada masa kini.
Teksi di Kelantan memang unik dengan
sejarah yang panjang dan ciri-ciri tersendiri yang tidak kelihatan di
tempat-tempat lain di Malaysia. Antara perbezaan yang paling ketara adalah
kegunaanya sebagai alat pengangkutan yang penting, khusunya di tengah-tengah
bandar Kota Bharu.
Di bandar Kota Bharu, beca dilihat sebagai
satu kemudahan khusunya buat kaum-kaum ibu untuk berulang-alik ke pasar, sama
ada untuk membeli-belah atau ditemui membawa barangan niaga.
Kegigihan yang ditunjukkan oleh para pengayuh
beca atau dipanggil ore gatih teksi yang berumur, banyak menyentuh hati dan
dikagumi mereka yang melihat khusunya pelawat dari luar Kelantan, menjadi
pemberi semangat dan lambang ketabahan serta kekuatan rakyat Kelantan.
Namun, di tengah-tengah kehadiran banyak
pengangkutan awam yang lebih besar serta pantas dan peningkatan pemilikan
kenderaan sendiri, beca roda tiga semakin kurang mendapat sambutan.
Bahkan, bilangan mereka yang gatih taksi juga
semakin berkurangan, itupun yang masih ada hanya di kalangan mereka telah
lanjut usia. Golongan muda tidak berminat untuk jadi ore gatih taksi.
Beberapa buah teksi yang masih beroperasi
di Kota Bharu dihias cantik dengan bunga plastik, bendera dan hiasan lain.
Cukup menarik dan sering menjadi perhatian di kalangan pelancong dan orang
ramai.
No comments:
Post a Comment