Saturday, 19 February 2022

KERJASAMA DENGAN BUKAN ISLAM

 
Terdapat beberapa contoh kerjasama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan bukan Islam, termasuk bapa saudaranya Abu Talib.

Perjanjian Rasulullah SAW dengan bapa saudaranya Abu Talib untuk menjaganya serta memeliharanya dari ancaman kaum Quraisy. Tahaluf di antara mereka berdua berlaku dalam beberapa peringkat:

Ketika Abu Talib melihat bagaimana Nabi Muhammad SAW bertegas untuk melaksanakan dakwah sekalipun terpaksa mati untuk Islam, Abu Talib lantas menyatakan: “Teruskan wahai anak saudaraku, katakanlah apa yang kamu hendaki. Demi Allah, aku tidak akan serahkan kamu kepada sesiapa selama-lamanya”.

Kata-kata ini dibuktikan beberapa kali oleh Abu Talib di mana pernah beliau mengetahui tentang sekumpulan kaum Quraisy yang merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, lalu dikumpulkan bani Abdul Mutalib dan Bani Hasyim untuk melindungi baginda SAW. Mereka semua berkumpul termasuklah yang masih kafir untuk melindungi Nabi Muhammad SAW.

Peringkat berikutnya ialah ketika kaum Quraisy melancarkan pemulauan kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib sebagai tindak balas kerana mereka melindungi Rasulullah SAW. 

Lalu ditulis surat penguatkuasaan di mana tidak dibenarkan sesiapa pun menikahi atau dinikahi oleh kedua-dua kabilah ini. Juga tidak dibenarkan berlakunya urusan jual beli dengan kedua-duanya. Surat ini ditampalkan di dinding Kaabah.

Di dalam peristiwa-peristiwa ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa menjadi satu keharusan jamaah Islam untuk mendapat perlindungan daripada orang yang bukan Islam demi mencapai matlamat perjuangannya. Namun ia tidaklah sampai kepada peringkat tunduk dan patuh sehingga menggadaikan perjuangannya.

Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mutim bin Adi. Ia berlaku selepas kewafatan Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan dakwah Thaif. Rasulullah SAW telah memasuki kota Mekkah dengan perlindungan seorang musyrik yang bernama Mutim bin Adi.

Rasulullah SAW menghargai pertolongan Mutim sehingga baginda pernah bersabda apabila memenangi perang Badar, “Sekiranya Mutim bin Adi masih hidup lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan lakukan untuknya..”

Mutim di dalam peristiwa ini sekalipun tidaklah memberikan kebebasan dan pertolongan kepada dakwah Islam tetapi melakukan sesuatu yang lebih besar dari itu iaitu menjaga tubuh badan Nabi Muhammad SAW.

Mutim tidak pernah berniat untuk menjadi pengikut Rasulullah SAW dan pendirian ini jelas ketika dia menjawab soalan dari Abu Jahal.

No comments:

Post a Comment