Kuasa minda amat hebat luar
biasa. Tony Buzan dalam buku Make The Most of Your Mind, "Otak
ibarat raksasa yang sedang tidur."
Hakikat inilah sebenarnya yang
diamalkan sarjana Islam sehingga mampu mencipta kejayaan pada zaman kemuncak
tamadun dahulu. Mereka mengejutkan minda agar tidak terus lena, sebaliknya
berfikir dengan kekuatan yang dimiliki untuk berjaya.
Buku Rahsia Minda
Hebat tulisan Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dan Muhammad Zakaria memberi
kekuatan kepada pembaca yang berusaha untuk merubah kehidupan kepada lebih
baik.
Kandungan buku itu mempersembahkan
gagasan berdasarkan ilmu syariat dan psikologi serta pengalaman mereka untuk mengajak
pembaca memahami kekuatan dan fungsi minda.
Kita perlu yakin kepada kekuatan
minda yang dianugerahkan Allah SWT untuk manusia menjadi khalifah dengan tugas
yang cukup berat.
Namun, bagi mereka yang hanya
menggunakan kekuatan nafsu, tugas sebagai khalifah dirosakkan untuk kepentingan
diri. Mereka yang sedemikian menggunakan kelebihan ilmu dan pengetahuan
untuk dimanipulasi bagi kepentingan diri.
Minda membolehkan manusia menilai
baik dan buruk, mampu membezakan di antara yang benar dan palsu, bersih dan
kotor, untung atau rugi, malah memandu untuk mengenal diri dan
Penciptanya.
Jadi, amat rugi yang menungkapkan
kata-kata bahawa dirinya malas untuk berfikir atau fikiran lembap.
Otak boleh diumpamakan seperti
logam yang perlu sentiasa digilapkan untuk nampak bersinar. Proses
mengilap otak ialah dengan banyak berfikir atau menggunakan fungsi otak agar
sentiasa berjalan.
Hasan al-Basri berkata:
"Sesungguhnya golongan yang berfikir mereka sentiasa mengulangi apa yang
mereka ingati, sehinggalah hati mereka dapat berbicara dengan kata-kata
hikmah."
Kisah seorang Barat, Isaac Newton
(1643-1727), iaitu seorang ahli fizik, matematik, falsafah dan astronomi yang
terkenal dengan penemuan formula graviti wajar juga diambil
pengajaran.
Kejayaan Newton adalah hasil
penelitian dan berfikir terhadap apa juga kejadian yang berlaku di
sekelilingnya. Setiap perkara yang berlaku pasti ada alasan sebabnya yang
menjadi aturan alam.
Biarpun apa yang berlaku di dunia
ini dikaitkan sebagai ‘semula jadi’, namun hakikatnya ia ditentukan oleh Allah
SWT setiap apa yang berlaku walaupun sekecil pergerakan jisim-jisim yang tidak
kelihatan dengan mata kasar.
No comments:
Post a Comment