Kerajaan amat komited untuk
membudayakan amalan bersukan dan melakukan aktiviti fizikal sebagai rutin
harian di kalangan rakyat.
Cara hidup orang muda sudah berbeza
kerana mereka berada dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Mereka kurang melakukan aktiviti fizikal kerana sudah ketagih dengan permainan
dan penggunaan media sosial dari pagi hingga malam.
ICT sudah menjadi budaya golongan
belia sekarang. Sememangnya diakui ICT meningkatkan komunikasi sosial, namun
keperluan kehidupan yang aktif tidak boleh diketepikan.
Terdapat dua sebab utama berlaku
obes. Pertama, pemakanan dan kedua, aktiviti harian. Kita perlukan makanan
seimbang untuk mendapat tahap kesihatan optimun.
Makan melebihi permintaan fisiologi
badan akan menyumbang kepada lebihan kalori dan lemak dalam badan, sekaligus
menyumbang kepada obes.
Makan mengikut naluri dan perasaan
memang membawa padah. Masyarakat moden mudah terpikat dengan makanan ringan dan
minuman bergas. Sebaliknya, sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin pula
dianggap tidak menyelerakan.
Makan sebenarnya berkaitan dengan
peraturan, disiplin dan tuntutan agama yang perlu diterapkan dari usia awal.
Ibu bapa kena tegas dan konsisten dalam menetapkan peraturan berkaitan makan.
Ia perlu dipatuhi oleh ibu bapa sendiri dan anak-anak.
Pengaruh persekitaran perlu diberi
perhatian. Budaya makanan segera semakin menular dan mendapat tempat di negara
kita. Kita sepatutnya menghayati budaya makan sihat. Amalkan pemakanan
seimbang. Biar bersikap cerewet asalkan dapat mengelak perkara buruk.
Makan dalam jumlah yang banyak
walaupun bunyinya sekadar makanan ‘ringan’, banyak mempengaruhi pola pemakanan
masyarakat kita. Hobi mengunyah makanan ringan menjadi amalan ketika bersantai
menonton televisyen atau berehat.
Dari sudut kesihatan, obesiti
adalah penyebab kolesterol tinggi, darah tinggi dan gula dalam darah tinggi.
Itu pun belum mengambil kira deretan senarai komplikasi seperti serangan
jantung, angin ahmar, aterosklerosis, kegagalan buah pinggang dan sebagainya.
Memantau BMI dapat mendorong kita
menetapkan sasaran berat badan sejajar dengan kehendak perubatan. Tidak
dinafikan, bagi mereka yang sudah mengalami obes, bukan mudah untuk kembali
mencapai tahap ideal.
Ramai orang mencubanya tetapi tidak
pernah berjaya. Malah, berat badan mereka semakin bertambah. Usaha ini
memerlukan kesungguhnan untuk berjaya. Ia bukan satu usaha untuk kelihatan
cantik semata-mata, tetapi lebih penting melibatkan soal kesihatan.
No comments:
Post a Comment