Tuesday, 9 November 2021

GAYA BERCAKAP MEMBUNUH SEMANGAT KERJA STAF

 
Menurut pakar psikologi, adalah fitrah manusia itu rajin, mereka suka bekerja, dan mereka suka menjadi orang yang produktif. Mereka tidak mahu menjadi orang yang pemalas, lembab, tak kuat berusaha.

Kemudian berlaku sesuatu sehingga membuatkan mereka patah semangat, lalu tingkah laku fitrah mereka itu berubah. Mereka menjadi kurang rajin, kurang kuat berusaha, lalu produktiviti mereka jatuh.

Salah satu faktor yang melemahkan semangat kerja staff adalah cara majikan bercakap atau berkomunikasi.

Ada majikan yang mempunyai anggapan mereka lebih pandai daripada pekerja mereka. Lalu dia bercakap kepada pekerja dengan menggunakan gaya bahasa yang membodohkan si pekerja.

Contoh gaya bercakap dan ayat-ayat yang membuat pekerja berasa dirinya dilayan macam budak-budak mentah, macam orang bodoh:
- Jangan cari pasal.
- Jangan lupa, tahu!
- Ingat, tahu!
- Apa pasal?
- Apa pasal tak boleh?
- Apa sebab tak boleh?
- Kenapa tak boleh?
- Kenapa tak fikir dulu?
- Takkan itu pun tak tahu?
- Takkan itu pun tak faham.
- Fikirlah, kenapa tak fikir?
- Benda kecil macam itu pun tak boleh fikir sendiri.
- Takkan semua perkara saya nak kena cakap!

Bahasa majikan yang macam itu mempunyai kesan sangat negatif pada persekitaran di tempat kerja.

Cakap-cakap macam itu adalah cakap orang yang toksik. Kata-katanya berbisa, beracun, membunuh semangat kerja dan akhirnya menyebabkan pekerja mencari kerja di tempat lain.

Gambar: Aktiviti masyarakat di Pulau Seratus. Sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment