Perkataan jenayah dalam Islam mengandungi pengertian yang am dan khusus. Secara amnya ia bererti sesuatu yang tidak baik dilakukan dan ia merangkumi dosa.
Dari
segi perundangan apa sahaja yang dilarang dalam Islam, jika dilakukan ia adalah
satu dosa dan dengan itu boleh ditakrifkan sebagai jenayah dan mempunyai
implikasi-implikasi tertentu dari segi hukuman.
Jenayah hudud adalah pelanggaran hak Allah yang dikenali juga sebagai hak awam
atau masyarakat dan dalam masa yang sama merupakan satu dosa besar pada
pandangan Islam.
Hukuman
hudud tidak boleh digugurkan jika telah sabit dengan bukti di hadapan
mahkamah. Begitupun ia boleh digugurkan jika pengakuan itu ditarik balik
oleh tertuduh walaupun pada saat-saat akhir sebelum hukuman.
Jenis-jenis kesalahan hudud dan kukumannya adalah tetap tidak boleh dipinda
kerana ia bersifat mandatori. Pendakwaan kes-kes hudud dibuat oleh pihak
pendakwa awam yang mewakili pihak berkuasa dan juga masyarakat keseluruhannya.
Oleh
sebab yang demikian ia menepati konsep jenayah sebagaimana yang difahami dalam
konteks perundangan konvensional kerana ia adalah pelanggaran terhadap sesuatu
hak awam atau masyarakat.
Fungsi
hukuman hudud adalah bersifat menghukum dan juga bagi tujuan pencegahan dan
kerana itu salah satu rukun yang perlu ada ialah kesalahan itu hendaklah telah
dilakukan dengan niat dan dengan cara sengaja.
Takzir
ialah satu bentuk pelanggaran hak Allah yakni hak awam dan dalam masa yang sama
juga merupakan satu dosa. Jenis kesalahan takzir disebut dalam syariah, tetapi
hukumannya terserah kepada budi bicara pemerintah atau hakim yang mendengar
sesuatu kes itu.
Hukuman
yang dikenakan tidak bersifat mandatori kerana ada banyak pilihan yang boleh
dibuat oleh hakim berkenaan dengan mengambil kira keadaan atau status pesalah,
melainkan pihak pemerintah telah menetapkan hukuman tertentu bagi kesalahan
tersebut.
Pendakwaan
bagi kes-kes takzir dilakukan oleh pihak pendakwa awam dan kerana itu takzir
juga mempunyai ciri-ciri jenayah dalam konteks konvensional.
Ia
juga bertujuan menghukum pesalah dan juga untuk pencegahan. Yang membezakan
takzir dengan hudud ialah hukuman hudud sudah ditentukan bagi kesalahan
berkenaan dan tidak boleh dipinda atau diubah kepada hukuman lain.
Qisas
pula ialah kesalahan yang merangkumi sebarang tindakan salah dengan sengaja dan
niat bagi membunuh atau mencederakan seseorang. Ia adalah hukum bunuh balas
bunuh dan cedera balas cedera.
Dari
segi konsepnya, pelanggaran hak yang berlaku dalam kes qisas adalah terhadap
hak Allah/awam dan juga hak individu tetapi Islam menganggap hak individu
adalah lebih besar dalam hal ini.
Oleh
itu Islam memberikan hak kepada individu berkenaan ataupun warisnya untuk
mengambil tindakan ke atas tertuduh. Lantaran itu ia terserah kepada mereka
sama ada hendak mengambil tindakan atau tidak.
Kerana
itu kesalahan qisas dari segi teknikalnya tidak boleh dikategorikan sebagai
jenayah mengikut kaca mata konvensional kerana hak mendakwa bukan terletak
kepada pendakwa awam atau masyarakat.
Manakala
bagi kes-kes yang tidak terjadi akibat adanya niat dan perlakuan sengaja oleh
tertuduh, maka hak mangsa atau keluarganya adalah terhadap pampasan atau ganti
rugi yang dikenali dalam Islam sebagai diyat dan daman.
Hukuman
qisas juga boleh ditukar dengan tuntutan diyat atau pampasan jika diinginkan
oleh mangsa atau warisnya dan mereka juga boleh memberikan kemaafan secara
percuma kepada pesalah yang telah disabitkan.
Jika
kerana sesuatu sebab khusus qisas tidak dapat dikenakan ke atas pesalah, maka
hukuman qisas itu dengan sendiri digugurkan dan diganti dengan diyat atau
pampasan.
Kesalahan
qisas dan diyat sebenarnya merupakan satu bentuk hukuman yang merangkumi tujuan
menghukum pesalah sengaja dan juga memberi pampasan kepada mangsa bagi kesalahan
tanpa niat.
Kerana
itu ia lebih sesuai dikaitkan dengan undang-undang tort dalam konteks
konvensional melainkan ia melibatkan pihak mangsa atau waris menuntut qisas
dilaksanakan kepada pesalah di mana elemen pampasan tidak timbul.
Pelaksanaan
undang-undang jenayah Islam pada asasnya merupakan sebahagian daripada ketaatan
umat Islam kepada perintah Allah SWT dan kerana itu mempunyai kaitan yang
sangat rapat dengan soal akidah dan keimanan mereka kepada Allah SWT.
Dari
segi yang lain pula, hukuman yang dikenakan ke atas penjenayah yang terbukti
bersalah, sebenarnya satu proses penyuciannya daripada dosa yang dilakukan.
Ini
membezakan kedudukan hukuman Islam dengan hukuman biasa atau sivil di mana
tidak seperti pesalah yang menerima hukuman di bawah undang-undang syariah yang
akan dikira bersih dari dosa, pesalah di bawah undang-undang biasa tidak akan
menikmati kedudukan yang sama.
Ini
kerana di bawah perundangan biasa, undang-undang dan hukuman tiada kaitan
dengan konsep dosa dan pahala serta perhitungan hisab di hari akhirat.
Lantaran
menyedari hakikat inilah kita dapati pada zaman Nabi ada orang yang telah
melakukan dosa dan jenayah dengan rela hati datang menemui Nabi meminta
dibersihkan daripada dosa dan memohon dijatuhkan hukuman seperti mana yang
telah diperuntukkan oleh Allah.
Keadaan
ini tidak mungkin berlaku dalam sistem perundangan biasa, bahkan pelaku jenayah
akan sentiasa berusaha untuk melepaskan dirinya daripada tuduhan walaupun
memang sebenarnya dia telah melakukan jenayah berkenaan.
Sistem
perundangan jenayah Islam juga mengambil kira nilai kemanusiaan sejagat. Ini
jelas dapat dilihat dalam peruntukan qisas bagi kes bunuh dengan niat serta
disengajakan di mana kedudukan dan rasa hati waris mangsa diambil kira dalam
menentukan jenis hukuman yang bakal dihadapi oleh pembunuh.
Bagi
yang berasa puas hati jika hukuman balas bunuh dapat dikenakan ke atas
pembunuh, mereka berhak untuk menuntut agar hukuman demikian dilaksanakan. Ini
sudah tentulah akan dapat menghapuskan rasa marah dan keinginan hendak membalas
dendam yang lumrahnya ada pada ahli keluarga mangsa yang mati dibunuh.
Manakala
bagi yang ingin memaafkan pembunuh boleh berbuat demikian sama ada dengan
menuntut pampasan/diyah sebagai balasan ataupun membebaskannya secara percuma.
Elemen
pampasan ini sudah tentulah akan lebih bermakna lagi bagi ahli keluarga mangsa
yang berada dalam keadaan yang serba kekurangan dari segi kewangan, maka sudah
tentulah bayaran yang diterima dapat sedikit sebanyak meringankan bebanan
mereka akibat kematian yang disebabkan jenayah berkenaan.
Namun
begitu bagi yang inginkan ganjaran pahala dan tidak perlukan wang pampasan
mereka boleh memberikan kemaafan secara percuma, bahkan pilihan inilah yang
sangat digalakkan oleh Islam.
Undang-undang
hudud diperuntukan bagi menggerunkan masyarakat yang ada cadangan untuk melakukan
jenayah berat. Undang-undang ini mempunyai syarat-syarat yang amat banyak
sebelum ia boleh dikenakan ke atas seseorang tertuduh.
Kadangkala
kelihatan mungkin agak mustahil untuk mensabitkan seseorang tertuduh melainkan
dengan pengakuan bersalah yang dibuatnya. Ini jelas bagi sesetengah kes seperti
zina yang memerlukan empat orang saksi yang jelas melihat perbuatan itu
dilakukan.
Manakala
bagi kes-kes yang lain pula sebarang keraguan yang wujud atau berjaya
ditimbulkan akan dengan mudah dapat menyebabkan hukuman hudud itu tidak
kenakan.
Bahkan
seseorang hakim yang membicarakan kes-kes sedemikian dinasihatkan agar sentiasa
bersikap terbuka dalam menerima keraguan yang ditimbulkan. Ini adalah kerana
secara prinsipnya Islam melihat adalah lebih baik tersilap tidak menghukum
daripada tersilap menghukum seseorang di dalam kes-kes hudud.
Sumber media maya
Gambar: Buah kelapa muda untuk mendapatkan airnya. Sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment