Perubatan
alternatif secara spiritual atau tradisional dibolehkan Islam dengan syarat
tidak membabitkan keyakinan dan perbuatan yang merosakkan akidah, tidak
melanggar batas syariat, tidak memudaratkan serta perlu menjaga etika.
Bagaimanapun, penelitian terhadap perbomohan khususnya di kalangan masyarakat Melayu mendapati ada beberapa unsur negatif dalam rawatan itu yang secara tidak langsung boleh menggugat kemurnian akidah serta mengakibatkan apa yang dilakukan berdosa.
Perkara yang menyebabkan berlakunya perkara sedemikian termasuklah penggunaan benda yang tidak suci dan kotor dalam perubatan.
Antara elemen negatif sering digunakan dalam perbomohan adalah penggunaan jin atau khadam, pemujaan makhluk halus, penggunaan perkhabaran ghaib serta tilikan atau nujum.
Malah, ada segelintir dukun atau bomoh mensyaratkan perubatan mereka lakukan menggunakan bahan kotor dan najis seperti darah, tengkorak manusia, tisu manusia, susu khinzir serta beberapa bahagian anggota badan tidak halal dimakan sebagai syarat berubat.
Penggunaan bahan berkenaan dalam perbomohan adalah tidak dibenarkan kerana ia dilarang oleh Rasulullah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat. Dia menjadikan setiap penyakit itu ada ubatnya, maka berubatlah kamu tetapi janganlah berubat dengan sesuatu yang haram”. (Hadis riwayat Abu Daud)
Selain daripada itu, ada juga sebahagian perubatan perbomohan yang turut dikenali sebagai rawatan alternatif ini diselewengkan dengan kepercayaan yang menyalahi akidah bagi memperkukuhkan kemujaraban dalam proses perbomohan mereka.
Ada segelintir pengamal perubatan ini yang memegang iktikad yang pelbagai, antaranya perlu meyakini dirinya lebih tua sehari daripada Tuhan, menjadi Imam Mahadi, kubur mempunyai kuasa penyembuh dan beberapa lagi iktikad yang menyalahi iktikad.
Selain itu, ada juga yang menyalahgunakan ayat suci al-Quran dengan memutarbelitkan bacaan, mencampur adukkan bacaan dengan jampi serapah dan mentera serta perbuatan lain yang tidak sepatutnya.
Rawatan kerohanian adalah rawatan bersumberkan al-Quran dan hadis nabi, menggunakan doa, bacaan atau kaedah spiritual tertentu di samping penggunaan bahan fizikal secara tradisional dan dalam tradisi keilmuan Islam rawatan ini juga disebut sebagai ‘ilaj rabbani’ dan pakarnya disebut sebagai ‘mu’alij’.
Berbeza dengan rawatan kebatinan, pakar untuk kaedah ini lebih dikenali sebagai dukun atau bomoh. Jelasnya, beberapa faktor yang boleh mengakibatkan serta menyumbang kepada terjadinya penyelewengan dalam perbomohan antaranya jahil serta tidak mengetahui perbomohan terutama apabila membabitkan penggunaan makhluk halus adalah salah di sisi agama.
Kejahilan inilah yang menjadikan mereka kadang-kala berpegang dengan keyakinan yang menyalahi iktikad, melakukan perkara yang melangkaui hukum serta mempunyai tanggapan salah terhada p makhluk halus dan cara mengendalikannya.
Selain kejahilan terhadap agama, mereka yang terbabit dalam penyelewengan rawatan kebatinan ini juga terjebak disebabkan ingin memenuhi tuntutan kepentingan peribadi, termasuk faktor ingin membalas dendam sehingga lupa tindakan dilakukan itu bercanggah dengan agama.
Terdapat juga mereka yang terbabit dalam perubatan bercanggah ini adalah disebabkan berlakunya kekeliruan dan kesamaran kerana sesetengah orang mungkin senang terpukau dan terpengaruh dengan sesuatu yang luar biasa dan sering terjadi dalam kaedah rawatan perbomohan.
No comments:
Post a Comment