Friday, 30 October 2020

CARA BERIKLAN DI FB

Pengiklanan adalah cara untuk memperkenalkan produk atau perkhidmatan. Tidak kisahlan perniagaan itu secara dalam talian mahupun kedai biasa. Semuanya perlu kepada iklan untuk melariskan jualan.

Salah satu medium iklan ialah di media sosial, terutama di FB. FB menjadi lubuk iklan yang paling berkesan kerana banyak orang aktif di laman sosial itu. Kajian menunjukkan terdapat tidak kurang 17 juta akaun milik rakyat Malaysia di FB. 

Untuk beriklan di FB anda perlu ada akaun profile sendiri. Melalui akaun profile anda boleh mencipta halaman (page) dan kumpulan (group).

Akaun profile sepatutnya menggunakan nama sendiri. Pun, realitinya terlalu ramai yang menggunakan nama palsu. Menggunakan nama palsu mungkin akan timbul masalah apabila pihak FB minta agar dihantar dokumen bukti tentang diri.  

Melalui akaun profile kita boleh menghantar kepada akaun profile atau sahabat untuk menjadi kawan. Begitulah sebaliknya orang lain boleh minta untuk jadi kawan anda.

Untuk berjaya perkenalkan dan menjual produk melalui FB, kita perlu ada kawan sekurang-kurangnya 2500 orang. Jadi mulalah add friend di FB. 

Bagaimanapun, perlu diingatkan, jangan anda terlalu banyak kawan dalam sehari. FB akan 'beri amaran' dan mungkin sekat akaun untuk beberapa ketika. Atau mungkin FB akan minta dokumen pengesahan diri. Inilah masalah jika menggunakan nama palsu.

Lepas itu, mula 'like' dan komen status kawan di FB. Tindakan ini penting agar orang tahu kewujudan kita di FB. Bila kita puji seseorang (contohnya anak dia comel), pasti mereka akan gembira. Ingat, lakukan dengan ikhlas. Jika kita gembirakan orang lain, insyaalah, Allah pun akan bagi kegembiraan kepada kita.

Pada masa sama, aktifkan diri di FB. Selalu update di FB. Buatlah catatan atau gambar untuk dikongsikan dengan kawan-kawan. Ini penting untuk memastikan orang tahu kewujudan kita di FB.

Jangan malu hendak 'perkenalkan' diri sebagai pengedar atau penjual produk berkenaan. Promosikan produk anda dalam aktiviti seharian anda. Ketahui mengenai produk kerana mungkin bakal pembeli ingin mengetahuinya. 

Sediakan testimoni keberkesanan produk yang dijual itu. Kebanyakan syarikat menyediakan 'bahan' untuk disebarkan oleh agen atau pengedar. Kaedah salin dan tampal mudah dilakukan.

Satu perkara lagi, elok jika anda sendiri menjadi pengguna kepada produk berkenaan. Dengan cara itu anda sendiri boleh jadi testimoni dan menyakinkan bakal pembeli mengenai kualiti produk. 

Sebarang kebaikan produk perlu dikongsikan dengan orang lain. Dengan cara itu orang akan mudah yakin, kerana kita sendiri sebagai testimoni kepada produk itu.

Selain akaun profile, anda boleh mengiklankan melalui halaman. Ini cara paling berkesan dan ia telah direka oleh pihak FB untuk memperkenal dan memasarkan produk dan perkhidmatan. Melalui halaman juga kita boleh membuat iklan berbayar yang lebih mudah dan berkesan.

Namun, iklan berbayar tentu memerlukan kos. Dah namanya berbayar. Pun begitu, jumlah yang diperlukan dianggap kecil berbanding dengan pengiklanan di tv, radio mahun akhbar. Dengan serendah RM10 sehari anda sudah boleh beriklan secara berbayar di FB.

Halaman boleh dicipta berdasarkan kepada nama produk atau syarikat. Jadi, orang mudah kenal produk anda. Boleh juga menggunakan nama-nama lain yang dapat menarik orang ramai. 

Selain halaman, satu lagi yang boleh dicipta ialah kumpulan. Nama kumpulan juga bebas dipilih asalkan menepati aktiviti kumpulan itu. 

Anda boleh mencipta halaman atau menubuhkan kumpulan lebih dari satu. Jadi, mudah untuk fokus kepada produk tertentu, terutama jika ada anda ada banyak produk yang ingin dipasarkan.

Apa pun, kepada mereka yang menggunakan medium FB untuk memasarkan produk, perkara penting dilakukan ialah yakin dan istiqamah. 

Jangan mudah menyerah kalah jika apa yang dilakukan tidak mencapai seperti apa yang diharapkan. Teruskan usaha hingga berjaya. Elok juga jika berkongsi pengalaman dengan mereka yang telah berjaya.


No comments:

Post a Comment