Permainan golf melibatkan fahaman fizik dan daya
konsentrasi. Kelajuan bola yang dipukul bergantung pada kelajuan ayunan
pemukul, sudut pemukul, permukaan hentaman dan arah hentaman.
Pemain golf yang mahir biasanya mempunyai pegangan yang kukuh, kedudukan
yang sesuai dan ayunan yang baik.
Ada bahagian lapangan yang sukar seperti "water
hazard" (halangan air), "pond" (kolam). Pemain
selalu juga mencangkol tanah semasa memukul bola dan membuat lubang di tanah
yang dinamakan "divot".
Permainan golf dimainkan menurut kumpulan. Satu kumpulan terdiri daripada 4
orang yang dinamakan "1 flight", atau "kapal".
Pemain yang memukul bola dahulu dikatakan mempunyai "honour"
atau "kehormatan".
Sekali pukulan dinamakan satu stroke, objektif dalam golf adalah mendapatkan
pukulan yang paling sedikit untuk memasukkan bola di dalam lubang.
Ukuran piawai setiap lubang dinamakan "par". Par - 3 bererti
biasanya 3 pukulan untuk memasukkan bola ke dalam lubang. Begitu juga Par - 4,
Par 5. Bagi Par - 4, pukulan yang kurang daripada 4, atau hanya 3 pukulan
dinamakan "birdie" - atau "burung".
Bola yang dipukul dan menuju di luar kawasan dikatakan OB yang
bererti "Out of Bound" atau "luar kawasan".
Pemain yang baru selalu memukul bola tidak tepat atau
dikatakan "topping" - "atas".
Bila kedudukan bola sukar untuk dipukul seperti pada celah pokok, celah pagar,
pemain dapat mengubah bola tersebut. Ini dikatakan "take a
drop", atau "pindah bola".
Par adalah bilangan pukulan yang telah ditetapkan oleh arkitek (designer)
padang untuk seorang pemain golf scratch (handicap 0) untuk memukul bola dari
tee (penyangga) atau tempat permulaan hinggalah ia masuk lubang di green pada
suatu lubang.
Contohnya jika lubang itu adalah par 4 maka empat pukulan seharusnya diperlukan
untuk memasukkan bola ke dalam lubang. Jarak tee dengan lubang di par 4 adalah
di antara 230 meter hingga 430 meter.
Terdapat tiga jenis par yang digunakan secara rasmi di sebuah padang golf; par
3 (90 meter sehingga 230 meter), par 4 dan par 5 (430 meter sehingga 550
meter). Sebuah padang golf 18 lubang biasanya akan ada empat lubang par 3,
empat lubang par 5 dan 10 lubang par 4. Bagaimanapun, gabungan lain juga dibenarkan.
Jumlah par kesemua lubang adalah jumlah par untuk padang golf tersebut. Padang
golf yang digunakan untuk pertandingan akan mempunyai par di antara 69 hingga
73.
Setelah habis bermain golf, seorang pemain akan membandingkan jumlah pukulannya
dengan par padang tersebut. Maka jika par padang tersebut ialah 72 dan dia
telah membuat jumlah pukulan sebanyak 70; maka dikatakan dia telah membuat 70
pukulan, dua di bawah par. Jika 75 pukulan, maka dikatakan tiga di atas par.
Untuk pemain golf profesional, ataupun untuk sebahagian pertandingan yang
tertentu, kiraan mutlak digunakan yang dipanggil sebagai gross score.
Jika pemain golf itu adalah amatur, maka jumlah pukulannya tadi akan ditolak
dengan handikapnya. Contohnya jika seorang pemain yang mempunyai handikap 10
menghabiskan permainan dengan membuat sejumlah 80 pukulan, maka 80 akan ditolak
dengan 10 maka jumlah pukulannya ialah 70. Ini di panggil sebagai net
score.
Ada pertandingan yang berlangsung lebih dari satu hari maka jumlah par untuk kesemua
hari itu akan menentukan pemenang.
Setiap pertandingan akan mempunyai peraturan yang berbeza. Dalam pemarkahan
stroke play, pemain merekodkan bilangan pukulan yang diambil pada setiap lubang
dan menjumlahkannya pada penghujung pusingan tertentu, atau pusingan. Pemain
dengan jumlah terendah adalah pemenang.
Dalam pemarkahan handikap, pemain akan menolak handikap mereka daripada jumlah
markah (kasar) untuk menjana markah bersih mereka, dan pemain dengan markah
bersih terendah adalah pemenang.

No comments:
Post a Comment