Friday 26 April 2024

MEMORI MENTERI DI SMK PANGGUNG JAYA

 
Menteri Pelajaran, Fadhlina Sidek mencatatakan memori di FBnya sempena lawatan kerja ke Gua Musang, Kelantan, yang turut melibatkan program di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya, sekolah orang Asli Kelantan.
 
Catatan beliau:
 
Jangan pernah memandang rendah dan mengambil enteng keupayaan dan bakat anak-anak kita.
 
Sewaktu jamuan bersama warga SMK Panggung Jaya, dalam lawatan kerja tempoh hari di Gua Musang Kelantan, kami disajikan dengan dua persembahan daripada anak-anak SMK Panggung Jaya.
 
'Kakak' Fifi Fazalianataza Uda mendeklamasikan puisi berjudul "Alam Sekitar" dengan penuh penghayatan. Saya juga turut berasa sebak, menitis air mata ketika menyaksikan deklamasi beliau, seolah-olah terbawa menyelami rasa hati sanubari mereka yang terkesan dek arus pembangunan yang tidak mampan.
 
'Kakak' Nur Syafienaz Nazri pula menyampaikan pidato 'Bingkisan Rasa'. Kemas, bersahaja, terbaik! Penggunaan bahasa Melayu yang tersusun dan indah, keyakinan yang tinggi, lontaran idea yang bernas.
 
Cuma saya sedikit sebak apabila mendengar beliau memohon maaf kerana anak-anak orang Asli berasa malu tampil di khalayak, malu bercakap di depan orang ramai.
 
"Kakak, jangan rasa malu, dan jangan pula minta maaf. Makcik lebih malu lagi mendengar yang demikian dan Makcik minta maaf sebab belum mampu sepenuhnya memberikan yang terbaik untuk pendidikan Kakak dan rakan-rakan semua. Kita semua usahakan sama-sama
ya!"
 
Terima kasih Kakak Fifi dan Kakak Fienaz!

Gambar atas: Fadhlina (kanan) mengatakan sesuatu kepada Fifi Fazalianataza Uda

Fadhlina (kiri) memeluk Nur Syafienaz Nazri