Wednesday, 31 January 2024

TALIBUN SEJENIS PUISI LAMA

 
Talibun adalah sejenis puisi lama yang terdiri lebih daripada empat baris, biasanya terdiri daripada enam belas atau dua puluh baris, yang bersajak di hujungnya. Talibun mempunyai beberapa persamaan dengan teromba dari segi rima dan mempunyai bentuk yang hampir sama dengan prosa lirik atau prosa berirama.
 
Walau bagaimanapun, talibun berbeza dengan prosa lirik dan prosa berirama kerana talibun merupakan sebahagian sahaja daripada cerita yang diambil prosa lirik. Talibun mengungkap persoalan yang pelbagai bergantung kepada konteks cerita induknya.
 
Lazim isi talibun berkisar kepada pelbagai perkara dan objek; seperti senjata, pakaian, kenderaan, negeri, perlakuan manusia, fenomena alam, perasaan, dan tradisi yang terdapat dalam sesebuah cerita lipur lara.
 
Struktur talibun berbentuk bebas iaitu dalam serangkap talibun tidak mempunyai jumlah baris, jumlah perkataan dan jumlah suku kata yang seimbang. Talibun juga tidak mempunyai sistem rima tertentu.
 
Dalam sesuatu untai talibun, mungkin terdapat sisipan daripada genre puisi yang lain seperti pantun, syair dan sebagainya, tetapi ternyata sisipan ini dianggap sebahagian daripada rangkap talibun.
 
Fungsi dan kedudukan talibun adalah sebagai sisipan di dalam sesebuah cerita lipur lara. Fungsi talibun di dalam sesebuah cerita adalah sebagai pemerian kepada cerita berkenaan dan memperjelaskan perlukisan tersebut
 
Isi atau tema sesebuah talibun berhubungan dengan pemerian yang dilukiskan di dalam sesebuah konteks. Misalnya untuk memerikan atau melukiskan keindahan sesebuah kota, kecantikan seseorang puteri atau kesaktian sejenis senjata dan unsur-unsur di dalam sesebuah cerita.
 
Penggunaan bahasa perulangan menjadi lumrah dalam pembentukannya.Teknik perulangan ini bukan sahaja wujud dalam penggunaan gaya bahasa tetapi juga pengulangan seluruh puisi tersebut.
 
Talibun berfungsi untuk memperincikan atau memerikan kebesaran, kehebatan dan keagungan sesuatu tempat seperti ibu kota dan bandar. Ia juga bertujuan untuk memerikan keadaan dan kesibukan atau keajaiban sesuatu peristiwa dan suasana, kehebatan dan kecantikan sesuatu objek seperti pakaian, manusia, sikap dan kelakuan manusia. 
Talibun boleh dikenal melalui penggunaan bahasa berulang yang menjadi lumrah dalam pembentukannya.

Talibun boleh terupakan (boleh dirupakan) gambaran pemikiran masyarakat khalayak yang mementingkan perincian tentang sesuatu, tetapi disusun dan dibentuk dengan keindahan terutamanya dalam penggunaan gaya bahasa.
 
Biarpun berulang dijelaskan tentang sesuatu, ia amat menarik dan tidak membosankan pendengar kerana pemilihan kata yang menarik dan rangkap yang tersusun padat. Sebab itu, pendengar seakan-akan tidak sabar untuk mendengar apakah perkataan yang seterusnya.

Seni talibun wajar dipopularkan kembali terutama ketika mengisi program santai dan menyampaikan maklumat. 

Contoh talibun 20 baris :
 
Medannya indah bukan kepalang
Rantaunya luas bagai dibentang
Tebingnya tinggi bagai diraut
Pasirnya serong bentuk taji
Batunya ada  besar kecil
Yang kecil pelontar balam
Jikalau untung kena ke balam
Jikalau tidak kena ke tanah
Mendera selawat ibu ayamm
Helang disambar punai tanah.
Seumpama  kundur dengan labu
Kecil pohon besar buahnya
Negerinya beruntung bandar rayanya bertuah
Cari di daratboleh di darat
Cari di laut boleh di laut
Ayam itik penuh di reban
Lembu kerbau penuh di tengah padang
Gajah badak penuh tengah hutan
Sejuk dingin seperti ular cintamani
Di negeri Teluk Bidung Kota Lama.
 
Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment