Monday 9 October 2023

KAMPUNG BUKIT PERAKSI, PASIR PUTEH

 
Kampung Bukit Peraksi, Mukim Cherang Ruku terletak kira-kira 13 kilometer dari bandar Pasir Puteh. Ia terletak di Jalan Pasir Puteh – Semerak – Kuala Besut (Terengganu).
 
Kampung Bukit Peraksi sebuah kampung tradisional. Kampung ini terkenal kerana adalah sebuah bukit tunggal dikenali Bukit Peraksi yang menjadi pusat mencerap anak bulan dalam menentukan tarikh permulaan Ramadan, Aidilfitri dan 1 Zulhijah setiap tahun.
 
Puncak Bukit Peraksi telah menjadi pusat mencerap anak bulan sejak lebih 50 tahun lalu, ketika tidak banyak lagi pusat mencerap seperti sekarang. Jadi, nama Bukit Peraksi cukup sinonim dan terkenal sebagai pusat mencerap anak bulan.
 
Selain pusat cerapan, puncak bukit dengan ketinggian kira-kira 150 meter dari aras laut itu juga terkenal sebagai pusat pelancongan di negeri ini. Untuk maksud pendakian awam, ia mula dibuka kepada orang ramai pada 1980 dan dijadikan sebagai lokasi perlancongan di Kelantan.
 
Pemandangan dari atas puncak bukit sungguh mengasyikkan, juga boleh disaksikan keindahan matahari terbit dari timur jika cuaca baik. Bukit ini sebenarnya adalah di bawah seliaan Majlis Daerah Pasir Puteh.
 
Berada di puncak Bukit Peraksi, pandanganya indah sejauh pandangan ke Pulau Perhentian. Peminat matahari terbit dan matahari terbenam tentu asyik melihat panorama yang amat menarik.  
 
Nama-nama kampung di berhampiran Bukit Peraksi ialah di sebelah timur pekan Cherang Ruku, di sebelah barat ialah Kampung Besar dan Kampung Lembah, manakala di bahagian selatan ialah Kampung Golak.
 
Jarak dengan pinggiran Pantai Dalam Rhu dan pelabuhan Tok Bali kira-kira 3 kilometer. Keadaan muka bumi di sini bersawah padi. Tanahnya subur untuk pertanian dan dahulu persekitarannya ditanam dengan tembakau. Industri ini menjadi punca rezeki kini sudah berlalu.
 
Ke arah barat mengalir Sungai Semerak berkuala di Tok Bali sehingga ke Sungai Limbongan Pasir Puteh. Airnya bersih kebiruan. Ketibaan musim banjir banjir sungai ini memberi rezeki kepada penduduk tempatan. Udang, ketam, ikan air tawar banyak datang bersama air banjir.
 
Nama Bukit Peraksi telah terkenal sebagai pusat mencerat anak bulan, namun belum cukup terkenal sebagai lokasi hiking atau kembara berjalan kaki. Namanya jauh ketinggalan berbanding Bukit Panau, Bukit Marak dan Bukit Gua Kambing dan beberapa lokasi hiking terkenal di Kelantan.
 
Promosi kesesuaian Bukit Peraksi dijadikan lokasi hiking perlu diwar-warkan agar lebih banyak yang menjadikan ia tempat riadah dan menikmati keindahan alam.

No comments:

Post a Comment