Monday 23 October 2023

MAKSUD IKHLAS TERPELIHARA DARIPADA BELANGGU RIYAK

 
Menurut Imam al-Jurjani dalam kitab al-Ta’rifat daripada sudut bahasa, ikhlas bermaksud meninggalkan riyak apabila melakukan ketaatan.
 
Dari sudut istilah, ia bermaksud membersihkan hati daripada bercampur dengan sesuatu yang memudarkan kesuciannnya dan dapat mengetahui sesuatu yang mencampurinya dan dengan itu ia dapat dielakkan.
 
Menurut Imam al-Qushayri dalam al-Risalah al-Qushayriyyah, al-ikhlas bermaksud berniat semata-mata kerana Tuhan yang memiliki nama al-Haqq di dalam ketaatan. Manusia mentaati Allah SWT adalah semata-mata ingin mendekatkan diri kepadaNya tanpa tujuan lain seperti pujian dan lain-lain.
 
Hakikat keikhlasan ialah terpelihara daripada belenggu riyak dan hawa nafsu.
 
Dalam kitab al-Arba‘in fi Usul al-Din, Imam al-Ghazali menukilkan satu fasal khusus tentang al-ikhlas.
 
Beliau meletakkan fasal ini di bawah bahagian keempat yang bertajuk akhlak yang terpuji (al-akhlaq al-mahmudah). Menurutnya, al-ikhlas mempunyai tiga rukun iaitu asas, hakikat dan kesempurnaan.
 
Rukun pertama merujuk kepada niat kerana di dalam niat terdapat al-ikhlas.
 
Niat akan menghasilkan pergerakan anggota badan setelah ia bermula dari ilmu, keinginan dan kekuatan. Ilmu menggerakkan keinginan, kemudian keinginan berperanan membangkitkan kekuatan untuk menggerakkan anggota badannya.
 
Contohnya, seseorang yang bangun dari tidur lalu melihat makanan, maka ia memiliki ilmu tentang makanan. Kemudian ilmu itu menggerakkan keinginannya untuk menjamahnya. Akhirnya, keinginan tersebut membangkitkan kekuatannya untuk bertindak dengan menggerakkan tangannya lalu menjamahnya.
 
Hakikat pula merujuk kepada hanya satu perkara yang membangkitkan niatnya. Jika ada dua perkara yang membangkitkan niatnya untuk melakukan sesuatu perkara, maka ia bertentangan dengan hakikat keikhlasan.
 
Manakala kesempurnaan pula membawa maksud bahawa keikhlasan itu sempurna.
 
Pada permulaan perbahasan berkenaan tajuk al-Ikhlas dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din, Imam al-Ghazali menjelaskan kelebihan dan kepentingan keikhlasan dengan membawakan firman Allah SWT dalam surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.”
 
Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 146 yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah.”
 
Menurut Imam al-Ghazali, berhubung dengan definisi al-ikhlas, sesuatu yang bercampur apabila bersih dari campuran tersebut maka ia dikenali sebagai khalis. Perbuatan untuk membersihkan atau mengasingkan di antara kedua-duanya dikenali sebagai ikhlas.

No comments:

Post a Comment