Pada tahun 1794, pemerintah Kelantan
Long Yunus telah digantikan oleh menantunya yang bernama Tengku Muhammad, putera Sultan Mansur Terengganu (memerintah Terengganu dari tahun 1740
hingga tahun 1793).
Bonda Tengku Muhammad ialah orang
Kelantan yang dikahwini Sultan Mansur semasa baginda melawat Kelantan pada zaman sebelum Long Yunus merajai negeri Kelantan. Tengku Muhammad ialah suami
kepada Engku Tuan Nawi puteri kepada Long Yunus.
Setelah menjadi raja pemerintahan Kelantan
dengan gelaran Yang Dipertuan pada tahun 1794 Masihi, Tengku Muhammad membuat
rancangan untuk membangunkan ibu kota yang baru bagi negeri Kelantan iaitu di
Kampung Padang Lundang.
Ia bagi menggantikan Kampung Galuh yang terletak berhampiran sangat dengan sungai yang senang bagi pihak
musuh datang melanggar atau menyerang dan mengepung.
Di samping itu pula Kampung Padang Lundang
itu lebih besar kawasannya dan rakyat pun lebih ramai.
Tetapi rancangan itu tinggal impian sahaja kerana sebelum sempat didirikan kota
istana, perang saudara meletus di antara Tengku Muhammad dengan pihak putera-putera Long Yunus
yang diketuai oleh Long Muhammad.
Perang saudara itu merebak menjadi Perang Kelantan - Terengganu, apabila tentera dari Sultan Terengganu turut terlibat mempertahankan kerajaan Tengku Muhammad dari serangan Long Muhammad.
Dalam pusingan pertama perang antara
Kelantan dengan Terengganu, Tengku Muhammad yang disokong oleh hulubalang Terengganu dan Siak
(sebuah negeri Melayu di Sumatera Timur) telah mengalahkan putera-putera
Long Yunus.
Long Muhammad dan saudara-saudaranya serta
pengikutnya telah berundur ke kawasan Pasir
Lalat di Hulu Kelantan. Di situlah Long Muhammad dan orang-orangnya membuat
persediaan dan rancangan bagi merebut negeri Kelantan dari tangan iparnya
Tengku Muhammad.
Pada tahun 1799, Long Muhammad
dan pasukannya mara ke hilir Kelantan. Setelah bertempur dengan hebat beberapa
hari, negeri Kelantan dapat ditawan oleh Long Muhammad. Tengku Muhammad dan pengikutnya terpaksa berundur ke Kuala
Terengganu buat selama-lamanya.
Setelah beroleh kemenangan iaitu pada tahun
1800, Long Muhammad menjadi raja pemerintah Kelantan sebagai Yang
Dipertuan dengan bergelar Sultan Muhammad. Baginda kemudian dikenali sebagai
Sultan Muhammad I.
Sesudah mangkat, iaitu dalam tahun 1835, Sultan Muhammad I dikenali sebagai Sultan Mandul kerana baginda tidak
mempunyai anak. Pada zaman kemudiannya baginda juga terkenal dengan gelaran
Marhum Tua atau Marhum Mandul.
Mungkin sekali 'kota' di Kampung Galuh yang
telah dibina oleh Long Yunus itu telah rosak binasa akibat perang antara
Kelantan dengan Terengganu pada tahun-tahun 1798-1800 yang tersebut itu.
Sultan
Muhammad I mendirikan ibu negeri Kelantan di Pulau Saba yang terletak di tepi
tebing timur Sungai Kelantan (di kawasan jeti Jabatan Kastam sekarang ini).
Di atas Pulau Saba inilah Sultan Muhammad I
membina Kota istananya dan lain-lain bangunan serta juga sebuah masjid.
Pulau
Saba telah menjadi pusat pemerintahanatau ibu kota negeri Kelantan selama 42
tahun iaitu dari tahun 1800 hingga tahun 1842 Masihi.
No comments:
Post a Comment