Friday 14 July 2023

PISANG GORENG PALING SEDAP

 
Buah pisang boleh dimakan secara mentah atau terus dimakan tanpa diubah keadaan semula jadi. Pisang juga dijadikan pengat untuk dimakan. Selain itu pisang dijadikan bahan untuk membuat kek, cekodok dan macam-macam kuih lain.
 
Paling terkenal pisang dijadikan pisang goreng atau digoreng sebelum dimakan. Jenis pisang yang digunakan untuk digoreng adalah pisang raja, pisang abu atau pisang tanduk. Ini antara pisang yang begitu popular dan sangat enak apabila digoreng.
 
Adunan tepung yang digunakan untuk menggoreng pula terdiri dari campuran tepung gandum, tepung beras, tepung ubi, santan atau susu sebagai penambah perisa dan aroma.
 
Pada mulanya, pisang goreng hanya dimakan begitu sahaja. Namun, pada hari ini ia telah dipelbagaikan dengan tambahan perisa untuk menikmatinya. Bagi penggemar pisang goreng, anda boleh menikmati pelbagai perisa baru yang ditonjolkan seperti pisang goreng cheese, pisang goreng coklat, pisang goreng susu dan sebagainya.
 
Di Indonesia, pisang goreng dikenali dengan nama yang berlainan walaupun makanannya adalah sama. Walau bagaimanapun, bahan-bahan yang digunakan dan cara menggorengnya sedikit berbeza.
 
Jika anda di Bali, pisang goreng dikenali dengan nama godoh biu, di Jawa Barat pula dikenali sebagai cau goreng, manakala di Jawa ia dikenali dengan gedhang goreng dan di Sibola pula dikenali dengan pisang rakit, manakala di Pontianak ia dikenali pisang kipas.
 
Jika anda di Sabah, pisang goreng juga digelar sebagai sanggar. Malah, ada yang mengatakan pisang goreng cheese sebenarnya berasal dari Sabah. Walau dari mana pun asal usul pisang goreng cheese ini, ternyata ia telah berjaya menambat hati ramai orang terutama bagi penggemar-penggemar keju.

No comments:

Post a Comment