Tuesday 25 July 2023

KURANG PENGAMBILAN GULA HIDUP LEBIH SIHAT

 
Gula telah disahkan antara punca dan penyebab penyakit berbahaya. Gula menjadi racun pembunuh manusia moden.

Tiada siapa yang pasti berapa banyak kandungan gula yang dimakan atau minum setiap hari. Rakyat Malaysia pada amnya mengambil lebih kurang sebanyak 19 sudu teh (76 gram) gula tambahan setiap hari.

Ini bermakna kira-kira 300 kalori daripada jumlah kalori harian anda datangnya daripada gula. Pakar kesihatan menganggap ini adalah jauh melebihi had.

Kita sepatutnya mengambil gula tidak lebih daripada enam sudu teh (100 kalori) bagi wanita dan sembilan sudu teh (150 kalori) bagi orang lelaki (yang disyorkan oleh Persatuan Jantung Amerika).

Rakyat Malaysia juga antara yang dikenal pasti paling ramai ketagih gula.

Penyakit diabetes dan obesiti sudah menjadi trademark dan Malaysia antara yang paling tinggi di Asia!

Tahukah anda bahawa minuman 3 dalam 1 sarat dengan gula. Satu cawan minuman kopi putih dan malt coklat mungkin mengandungi tiga hingga empat sudu teh gula.

Bayangkan, jika anda meminum hanya dua hingga tiga cawan minuman ini sehari.  Anda pasti sudah melebihi had harian yang disyorkan. Ini belum lagi diambil kira beberapa jenis gula yang terkandung dalam makanan-makanan biasa anda.

Ramai yang telah menggunakan pemanis tiruan sebagai alternatif untuk cegah gula tetapi kebanyakannya terhad dalam minuman sahaja. Bagaimana pula dengan makanan seharian?

Bukan senang untuk menerima hakikat jika ibu atau bapa anda didiagnos menghidapi diabetes. Perkara pertama yang pasti diminta oleh doktor ialah menjauhi gula. Ia tidak senang dilakukan kerana mereka telah biasa dengan gula sepanjang hayat.

Lagipun, rasa gula mencetuskan sejenis hormon dalam otak yang membuatkan kita berasa senang. Inilah yang menyebabkan mengapa ramai orang mendapati sangat susah hendak meninggalkan gula. 

Berusahalah kurangkan pengambilan gula untuk kesihatan lebih baik. 

No comments:

Post a Comment