Sunday 14 May 2023

MEMBERI SEDEKAH UNTUK PAHALA KEPADA IBU

 
Sesudah solat Jumaat aku masih duduk di masjid berhampiran sebuah sekolah rendah agama. Jemaah masjid sudah sepi, balik dengan hal masing-masing.
 
Seorang nenek tua menjual kuih tradisional menawarkan jualannya. Satu plastik harganya satu ringgit. Aku sebetulnya tidak berminat, tetapi kerana kasihan, aku beli satu plastik.
 
Si nenek penjual kuih kelihatan letih dan duduk di tangga masjid tidak jauh dariku. Kulihat masih banyak jualannya.
 
Tak lama kemudian, kulihat seorang murid mendatangi si nenek. Aku kira murid ini baharu darjah satu atau dua.
 
Dialog murid itu dengan si nenek jelas terdengar dari tempatku duduk.
 
Murid: “Berapa harganya nek?”
Si nenek: “Satu plastik kuih 1 ringgit, nak”
 
Murid itu mengeluarkan wang lima ringgit dari sakunya.
 
Murid: “Saya beli 5 plastik, ini duitnya. Kuih ini saya sedekahkan kepada nenek. Nenek boleh jualkan kepada orang lain.”
 
Nenek tua jelas sekali terlihat berkaca-kaca air matanya.
 
Nenek: “Ya Allah syukur dan terima kasih ye nak. Alhamdulillah Ya Allah, Kau telah kabulkan doaku untuk membeli ubat cucuku yang sakit.”
 
Si nenek meneruskan jualannya.
 
Lantas aku memanggil murid tadi.
 
Aku: “Siapa namamu? Darjah berapa?”
Murid: “Nama saya Puaad, darjah 2, pakcik”
Aku: “Wang belanja kamu sehari lima ringgit, ye?'”
Murid: ”Oh .. tak pakcik, saya diberi belanja 1 ringgit sehari. Tapi saya tidak pernah belanja, sebab saya bawa bekal dari rumah.”
Aku: “Jadi duit kamu bagi nenek tadi simpanan kamu sejak hari Isnin?”
Murid: “Betul pakcik. Jadi setiap Jumaat saya boleh sedekahkan lima ringgit."
 
Kata murid itu lagi, "Dan sesudah itu saya selalu berdoa agar Allah berikan pahalanya untuk ibu saya yang sudah meninggal dunia. Saya pernah mendengar ceramah ada seorang ibu yang Allah ampuni dan selamatkan dari api neraka kerana anaknya bersedekah sekeping roti, pakcik”
 
Aku pegang bahu murid itu.
 
Aku:”Sejak bila ibumu meninggal, Puaad?”
 
Murid: “Ketika saya masih tadika, pak cik”
 
Tak terasa air mataku mengalir.
 
Aku: “Hatimu jauh lebih mulia daripada pak cik. Ini pak cik gantikan duit kamu yang lima ringgit tadi ya,
 
Tapi dengan sopan Puaad menolaknya dan berkata: “Terima kasih, pak cik… tapi ini untuk keperluan pak cik, saya masih sekolah dan tidak ada tanggungan… tapi pak cik ada keluarga…. saya pergi dulu pak cik”.
 
Puaad menyalami tanganku dan menciumnya.
 
“Allah menjagamu, nak ..”, jawabku sedih.
 
Aku pun beranjak pergi, tidak jauh dari situ kulihat si nenek penjual kuih ada di sebuah kedai ubat. Bergegas aku ke sana, kulihat nenek membayar duit untuk ubat yang dibelinya.
 
Aku bertanya kepada penjua berapa harga ubatnya. Penjual menjawab: ”Empat ringgit”
 
Aku serahkan wang yang ditolak oleh Puaad tadi kepada pejual: ”Ini saya yang bayar… kembalikan duit dan berikan kepada nenek ini..”
 
Aku bergegas untuk melanjutkan perjalananku lagi. Dalam hati aku berdoa semoga Allah menerima sedekahku dan ampuni kedua orang tuaku yang sudah meninggal serta anak-anakku yang sedang menuntut ilmu.
 
Saudara-saudaraku..... adakalanya seorang anak lebih jujur daripada orang dewasa. Ajarkanlah anak-anak kita dari kecil tindakan yang perlu dilakukan dan bukan teori semata-mata.

No comments:

Post a Comment