Thursday 25 May 2023

CIRI-CIRI POKOK BUNGA TANJUNG

 
Pokok bunga tanjung adalah sejenis pokok malar hijau yang mempunyai pertumbuhan yang lambat. Bunganya digunakan secara meluas oleh kaum India untuk upacara keagamaan.
 
Pokok bunga tanjung banyak ditanam sebagai pokok hiasan di kawasan taman dan tepi jalan. Namun, banyak tumbuh di hutan secara semula jadi.
 
Bunga tanjung terpilih sebagai bunga rasmi lambang Majlis Perbandaran Ampang Jaya kerana menurut sejarah, kawasan Ampang Jaya dahulunya dipenuhi dengan pokok bunga tanjung. Justeru itu, dengan pemilihan ini, Majlis Perbandaran Ampang Jaya akan berusaha untuk memulihkan semula bilangan pokok bunga tanjung di kawasan Ampang Jaya sekaligus dapat menghijaukan dan mengindahkan kawasan bandar.
 
Nama saintifik bunga tanjung ialah Mimusops Elengi. Nama tempatan selain bunga tanjung ialah tanjung dan mengkulah. Pokok ini dipercayai berasal dari India dan Sri Lanka.
 
Pokok tanjung dibiak menggunakan biji benih. Ketinggiannya boleh mencapai sehingga 25 meter apabila tua dengan ukur lilit batang mencapai lebih kurang 0.45 meter.
 
Pokoknya berbentuk bulat, kemas dan rendang seperti payung. Pokok tanjung berbunga biasanya mempunyai dahan-dahan yang tumbuh rendah. Pemangkasan awal dapat menentukan ketinggian dahan yang sesuai serta dapat mengawal pembentukan dahan.
 
Saiz bunganya kecil (kira-kira ½ inci lebar), berwarna kuning susu, berbentuk seperti bintang (mempunyai 6 petal) serta berbau wangi (terutama di waktu malam).
 
Buahnya berbentuk seperti jantung, berwarna merah coklat apabila masak. Saiz buahnya kira-kira 1-1/3 x ½ -2/3. Pada pangkal buah terdapat 8 sepal.
 
Pokok bunga tanjung popular ditanam sebagai pokok teduhan dan hiasan. Sesuai ditanam dipinggiran jalan tempat letak kereta dan menghiasi perkarangan bangunan.

No comments:

Post a Comment