Thursday 9 December 2021

CARA MAKAN JERING TUA

 
Jering terkenal di Malaysia. Penggemar jering terdiri pelbagai bangsa. Di kalangan orang Melayu, jering dipelbagikan penggunaannya dari buah muda hinggakan yang sudah tua.

Jering mempunyai rasa yang pahit dan berbau. Ia turut menyebab bau busuk pada najis lebih daripada biasa, tetapi tidak seteruk kesan makan petai. Selain itu kesan makan jering juga menyebabkan air kencing yang berbau hancing kuat.  

Jering yang dipilih untuk dijadikan ulam biasanya yang masih muda. Isinya lembut dan mudah untuk dikenyah.  Isi buahnya menjadi keras apabila semakin tua.  

Buah jering yang telah tua tidak sesuai dijadikan ulam kerana telah keras, kecuali mereka yang memiliki gigi yang kuat dan inginkan cabaran memakan jering. 

Namun, peminat jering masih berpeluang memakan jering tua dengan cara 'relung' atau menyimpan atau meletakkan isi buah jering di dalam pasir atau tanah yang basah.  

Buah itu akan mengembang untuk bercambah dan ketika itu isinya menjadi lebih lembut dan sesuai untuk dijadikan ulam.

Ia juga sebahagian proses untuk menyimpan agar isi jering boleh disimpan lama. Jering relung boleh dibiarkan berada di dalam pasir sehingga anak pokok jering mula tumbuh. 

Bagaimanapun, jika anak benih semakin membesar, rasa jering semakin tawar dan tidak sedap lagi kerana sebahagian khasiatnya telah digunakan untuk tumbesaran anak benih. 

Selain itu, isi jering yang tua juga direbus. Biasanya untuk merebus jering tua mengambil masa yang lama.  

Proses merebusnya juga ada petua yang perlu diikuti seperti dicampurkan sama dengan abu, akar kelapa, besi dan pelbagai tambahan lain.  

Ini dikatakan untuk mengelak pemakannya terkena masalah untuk kencing. Secara teori sains, tujuan dimasukkan bahan-bahan itu untuk proses osmosis di mana kandungan kimia di dalam buah jering itu 'ditarik' keluar dan menjadikan ia lembut dan kurang berbau, selain mengurangkan kesan 'racun' yang terdapat di dalamnya.   

Buah jering rebus sedap dimakan bersama kelapa muda parut yang dicampurkan dengan gula dan sedikit garam.

No comments:

Post a Comment