Sunday 28 November 2021

BAHASA CAMPURAN ROSAKKAN BAHASA MELAYU

 
Meskipun Bahasa Melayu adalah bahasa pertama yang perlu didahulukan dalam sebarang wadah komunikasi di negara ini, namun hakikatnya masih berlaku penggunaan bahasa campuran atau "bahasa rojak".

Malah, kepincangan ini turut melibatkan program rasmi yang dianjurkan oleh pihak kerajaan, sebagai contoh, penggunaan perkataan Food Bank walhal nama program tersebut boleh sahaja digunakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu iaitu Bank Makanan.

Laman sesawang, pautan dan nama-nama melibatkan kementerian dan jabatan kerajaan dilihat lebih mementingkan perkataan Inggeris.

Nama program atau tajuk masih banyak yang menggunakan perkataan Inggeris. Pemimpin negara juga kerap dikesan menggunakan bahasa atau perkataan Inggeris, termasuk ketika berbahas di Parlimen (biarpun hanya beberapa patah perkataan atau beberapa baris ayat).

Mengapa perkara ini berlaku? Apakah berasa hina atau tidak hebat jika tidak menyelit perkataan Inggeris dalam tulisan atau bercakap?

Penggunaan bahasa campuran dalam sebarang majlis atau program rasmi kerajaan, berlaku akibat sikap tidak kreatif dan inovatif pihak terbabit dalam memperkaya dan memperkasakan bahasa.

Dari penggunaan istilah, sebenarnya bahasa Melayu merupakan bahasa yang dinamik. Bahasa yang wujud pada hari ini tanpa kita sedar, juga menerima pengaruh bahasa luar, ada bahasa Sanskrit, Tamil dan Belanda.

Bahasa yang berkembang baik adalah bahasa yang boleh memanfaatkan situasi semasa pada masa sama mengekalkan kewibawaan atau  authority bahasa itu sendiri.

Dari segi kesan bahasa campuran kepada masyarakat, ia memberikan contoh tidak baik kepada masyarakat termasuk kanak-kanak sekolah rendah, sekolah menengah serta penuntut universiti berikutan penggunaan bahasa campuran itu yang mencerminkan kecelaruan pemikiran, kecelaruan sikap penganjur itu sendiri atau pihak berkuasa.

Apabila ia dilakukan secara rasmi, ia memberikan pengaruh yang buruk kepada anak muda sebab  bagi mereka bila mereka melihat penganjuran secara rasmi bahasanya bercampur aduk, bahasa rojak jadi mereka melihat pihak penganjur dari agensi  kerajaan bersikap sedemikian,

Maka anak muda terpengaruh, terikut-ikut seolah-olah memberikan teladan kepada mereka dan ini lah yang menjadi punca penggunaan bahasa di Twitter, Facebook, WhatsApp, bercampur aduk sebab mereka anggap perkara ini betul, dibenarkan dan tidak bertentangan dengan dasar kerajaan sebab yang buat program sebegitu itu adalah dari pihak kerajaan.

No comments:

Post a Comment