Saturday 10 October 2020

PEKERJA GIGIH JUJUR DIKASIHI SEMUA

Pekerja adalah mereka yang mencari rezeki secara mendapat gaji atau upah dan tertakluk kepada peraturan tugas bagi memastikan mereka menghasilkan mutu kerja yang memuaskan seperti diamanahkan. 

Kecemerlangan pekerja awam adalah lambang kepada kejayaan kerajaan menyediakan perkhidmatan terbaik bagi rakyat, manakala kecemerlangan pekerja sektor swasta membawa keuntungan untuk majikan, sekaligus memberi peluang pekerja terus bekerja.

Untuk mencapai tahap cemerlang memerlukan setiap pekerja menanam azam, iltizam, penguasaan ilmu dan kemahiran bagi melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. 

Pencapaian ini hanya terlaksana jika setiap pekerja mengikut peraturan kerja, amanah, jujur, ikhlas dan melakukan yang terbaik.

Ia bukan sekadar melaksanakan tugas, tetapi adalah amanah yang dipersoalkan di akhirat nanti. Islam tidak bertolak ansur dalam soal kecemerlangan dan kesempurnaan melaksankan tugas oleh pekerja. 

Setiap pekerja perlu sentiasa komited melakukan tugas agar menepati piawaian terbaik yang mampu dilakukan. Pekerja yang melakukan tugasnya dengan tekun bukan saja disukai pegawai atasan atau majikan, tetapi lebih-lebih lagi Allah.    

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah amat mengasihi seseorang apabila melakukan satu kerja, dilakukan dengan penuh tekun dan sebaik mungkin.” (Hadis riwayat Baihaqi).  

Melaksanakan amanah samalah usaha untuk menunaikan janji yang wajib ditunaikan berdasarkan perjanjian menyerah tugas oleh majikan dan penerimaan tugas oleh pekerja.

Pihak yang melantik pekerja telah memilih calon terbaik untuk melaksanakan sesuatu tugas. Calon terpilih itu mungkin daripada beribu-ribu calon lain yang turut memohon. Dengan kata lain, pemilihan calon itu ialah dengan satu harapan dia dapat menjadi pekerja terbaik.

Pemilihan biasanya dibuat berdasarkan kepada jangkaan kebolehan berdasarkan kelulusan akademik, soal jawab atau kaedah lain yang dilakukan ketika proses pemilihan. Setiap amanah hendaklah diserahkan kepada orang yang layak melaksanakannya. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.” - (Surah an-Nisa, ayat 58).

Malah, calon pekerja juga secara konseptual juga telah bersedia menerima tanggungjawab sebagai pekerja, maka mereka perlu membuktikan bahawa mereka adalah pilihan yang tepat serta bersedia melaksanakan tugas yang diserahkan kepadanya. 

Tetapi, ramai yang memohon kerja sebenarnya bukan hendak bekerja, tetapi mengharapkan gaji. Inilah punca ramai pekerja apabila bekerja tidak melakukan tugas dengan sempurna. 

Sesiapa menerima amanah, sedangkan tidak mempunyai kesediaan untuk melakukan yang terbaik, maka padanya ada tanda-tanda sifat munafik.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tanda-tanda munafik itu tiga perkara, pertama apabila seseorang itu bercakap dia sentiasa berbohong, apabila berjanji tidak pernah ditunaikan dan apabila diamanahkan dia khianati.” - (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi dan Nasai).

Setiap pekerja tertakluk kepada peraturan kerja yang ditetapkan oleh majikan. Gaji yang ditetapkan untuk setiap bulan adalah setimpal dengan tugas yang diamanahkan.  

No comments:

Post a Comment