Thursday, 9 December 2021

CARA MAKAN JERING TUA

 
Jering terkenal di Malaysia. Penggemar jering terdiri pelbagai bangsa. Di kalangan orang Melayu, jering dipelbagikan penggunaannya dari buah muda hinggakan yang sudah tua.

Jering mempunyai rasa yang pahit dan berbau. Ia turut menyebab bau busuk pada najis lebih daripada biasa, tetapi tidak seteruk kesan makan petai. Selain itu kesan makan jering juga menyebabkan air kencing yang berbau hancing kuat.  

Jering yang dipilih untuk dijadikan ulam biasanya yang masih muda. Isinya lembut dan mudah untuk dikenyah.  Isi buahnya menjadi keras apabila semakin tua.  

Buah jering yang telah tua tidak sesuai dijadikan ulam kerana telah keras, kecuali mereka yang memiliki gigi yang kuat dan inginkan cabaran memakan jering. 

Namun, peminat jering masih berpeluang memakan jering tua dengan cara 'relung' atau menyimpan atau meletakkan isi buah jering di dalam pasir atau tanah yang basah.  

Buah itu akan mengembang untuk bercambah dan ketika itu isinya menjadi lebih lembut dan sesuai untuk dijadikan ulam.

Ia juga sebahagian proses untuk menyimpan agar isi jering boleh disimpan lama. Jering relung boleh dibiarkan berada di dalam pasir sehingga anak pokok jering mula tumbuh. 

Bagaimanapun, jika anak benih semakin membesar, rasa jering semakin tawar dan tidak sedap lagi kerana sebahagian khasiatnya telah digunakan untuk tumbesaran anak benih. 

Selain itu, isi jering yang tua juga direbus. Biasanya untuk merebus jering tua mengambil masa yang lama.  

Proses merebusnya juga ada petua yang perlu diikuti seperti dicampurkan sama dengan abu, akar kelapa, besi dan pelbagai tambahan lain.  

Ini dikatakan untuk mengelak pemakannya terkena masalah untuk kencing. Secara teori sains, tujuan dimasukkan bahan-bahan itu untuk proses osmosis di mana kandungan kimia di dalam buah jering itu 'ditarik' keluar dan menjadikan ia lembut dan kurang berbau, selain mengurangkan kesan 'racun' yang terdapat di dalamnya.   

Buah jering rebus sedap dimakan bersama kelapa muda parut yang dicampurkan dengan gula dan sedikit garam.

Thursday, 2 December 2021

MAKSUD MENJAGA MULUT

 
Menjaga mulut bermakna mengucapkan perkataan yang baik-baik dan mengelak daripada keluar perkataan mendatangkan keburukan. Bagaimanapun, seringkali berlaku ketika bercakap terkeluar perkataan tidak baik dengan tidak sengaja. Keadaan itu memang sukar dielakkan. 

Justeru untuk mengelak terkeluar perkataan tidak baik dengan sengaja ialah diam. Perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah melalui sabda bermaksud: “Sesiapa diam, nescaya dia terlepas (daripada bahaya).”  (Hadis riwayat Tarmizi). 

Bagaimanapun, hadis tersebut tidak pula bermakna Rasulullah melarang daripada bercakap. Sebaliknya ia lebih berupa satu peringatan. Orang yang mementingkan nilai baik dalam kehidupan pasti sentiasa berhati-hati setiap kali bercakap.

Untuk mengelak memperkatakan sesuatu perkara buruk ialah menjauhkan diri daripada situasi yang mendorong perkataan-perkataan buruk diucapkan.

Contohnya, jauhkan diri daripada mereka yang dikenali sering bercakap perkara-perkara tidak baik. Jika kita bersama-samanya, sudah pasti turut sama terpengaruh mengucapkan perkataan itu.

Tidak ada ruginya kita mengelak diri daripada orang berperangai buruk. Bahkan, jika bersama-sama orang berperangai buruk, perangai itu akan berjangkit kepada kita. 

Individu suka membuka aib individu lain tidak memilih siapa yang menjadi mangsanya. Apa gunanya berkawan dengan orang suka membuka aib orang lain, yang kemungkinan kita juga bakal jadi mangsanya. Kawan yang baik berusaha menutup aib kita, bukan sebaliknya.

Sudah kebiasaan apabila berada dalam kumpulan lebih daripada seorang, maka terkeluar percakapan yang diselang seli dengan kata-kata tidak baik.

Malah banyak perkataan yang bermaksud buruk diucapkan secara berbisik-bisik. Tujuan berbisik-bisik itu dirasakan ‘terbaik’ untuk mengelak perkara merebak didengari oleh ramai orang.

Sebenarnya biarpun dalam keadaan berbisik-bisik, ia tetap ditegah dan mendatangkan mudarat.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, apabila kamu berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasulullah. Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah, yang kepada-Nya kamu kelak bakal dihimpunkan.” (Surah al-Mujaadalah, ayat 9).

Oleh itu cara terbaik mengelak diri daripada melakukan dosa melibatkan lidah ialah dengan lebih mengamalkan sikap berdiam diri. Tindakan itu mungkin dianggap biadab tidak menjawab pertanyaan dan sebagainya, tetapi itu lebih baik daripada mendapat kemurkaan Allah. 

 


Sunday, 28 November 2021

BAHASA CAMPURAN ROSAKKAN BAHASA MELAYU

 
Meskipun Bahasa Melayu adalah bahasa pertama yang perlu didahulukan dalam sebarang wadah komunikasi di negara ini, namun hakikatnya masih berlaku penggunaan bahasa campuran atau "bahasa rojak".

Malah, kepincangan ini turut melibatkan program rasmi yang dianjurkan oleh pihak kerajaan, sebagai contoh, penggunaan perkataan Food Bank walhal nama program tersebut boleh sahaja digunakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu iaitu Bank Makanan.

Laman sesawang, pautan dan nama-nama melibatkan kementerian dan jabatan kerajaan dilihat lebih mementingkan perkataan Inggeris.

Nama program atau tajuk masih banyak yang menggunakan perkataan Inggeris. Pemimpin negara juga kerap dikesan menggunakan bahasa atau perkataan Inggeris, termasuk ketika berbahas di Parlimen (biarpun hanya beberapa patah perkataan atau beberapa baris ayat).

Mengapa perkara ini berlaku? Apakah berasa hina atau tidak hebat jika tidak menyelit perkataan Inggeris dalam tulisan atau bercakap?

Penggunaan bahasa campuran dalam sebarang majlis atau program rasmi kerajaan, berlaku akibat sikap tidak kreatif dan inovatif pihak terbabit dalam memperkaya dan memperkasakan bahasa.

Dari penggunaan istilah, sebenarnya bahasa Melayu merupakan bahasa yang dinamik. Bahasa yang wujud pada hari ini tanpa kita sedar, juga menerima pengaruh bahasa luar, ada bahasa Sanskrit, Tamil dan Belanda.

Bahasa yang berkembang baik adalah bahasa yang boleh memanfaatkan situasi semasa pada masa sama mengekalkan kewibawaan atau  authority bahasa itu sendiri.

Dari segi kesan bahasa campuran kepada masyarakat, ia memberikan contoh tidak baik kepada masyarakat termasuk kanak-kanak sekolah rendah, sekolah menengah serta penuntut universiti berikutan penggunaan bahasa campuran itu yang mencerminkan kecelaruan pemikiran, kecelaruan sikap penganjur itu sendiri atau pihak berkuasa.

Apabila ia dilakukan secara rasmi, ia memberikan pengaruh yang buruk kepada anak muda sebab  bagi mereka bila mereka melihat penganjuran secara rasmi bahasanya bercampur aduk, bahasa rojak jadi mereka melihat pihak penganjur dari agensi  kerajaan bersikap sedemikian,

Maka anak muda terpengaruh, terikut-ikut seolah-olah memberikan teladan kepada mereka dan ini lah yang menjadi punca penggunaan bahasa di Twitter, Facebook, WhatsApp, bercampur aduk sebab mereka anggap perkara ini betul, dibenarkan dan tidak bertentangan dengan dasar kerajaan sebab yang buat program sebegitu itu adalah dari pihak kerajaan.

Sunday, 21 November 2021

KAK ZAH POKOK KELAT MEGGI TELUR SOTONG

 
Hendak menikmati hidangan lazat tidak semestinya hanya di restoran mewah. Kedai makan di bawah pokok pun hebat juga. Menu yang pasti memikat pengunjung.

Antara kedai makan ‘kampung’ yang menyajikan hidangan pasti sedap ialah Kedai Makan Kak Zah Pokok Kelat.

Mengapa dinamakan ‘Pokok Kelat’? Nama itu mengambil sempena di tepi kedai tersebut terdapat sepohon pokok kelat yang besar.

Apabila kedai semakin maju kawasan kedai diperluaskan, termasuk di bahagian bawah pokok berkenaan.

Kedai Makan Kah Zah Pokok Kelat terletak di Kampung Cherang Laut, Senok, Tawang, Bachok, Kelantan. Kedudukannya tidak jauh dari Pantai Senok atau yang lebih dikenali Pantai Nami.

Pengunjug hendak pergi ke sana tidak perlu bimbang. Guna aplikasi Maps atau Waze dan search Kedai Makan Kak Zah Pokok Kelat memang sah menuju ke destinasinya.

Menu utama di kedai ini ialah maggi telur sotong dan hidangan lain yang mendapat sambutan dari pengunjung. Berbaloi menjamu selera di sini dengan menu yang pasti puas rasa ditambah pula suasana kampung yang damai.



Tuesday, 9 November 2021

GAYA BERCAKAP MEMBUNUH SEMANGAT KERJA STAF

 
Menurut pakar psikologi, adalah fitrah manusia itu rajin, mereka suka bekerja, dan mereka suka menjadi orang yang produktif. Mereka tidak mahu menjadi orang yang pemalas, lembab, tak kuat berusaha.

Kemudian berlaku sesuatu sehingga membuatkan mereka patah semangat, lalu tingkah laku fitrah mereka itu berubah. Mereka menjadi kurang rajin, kurang kuat berusaha, lalu produktiviti mereka jatuh.

Salah satu faktor yang melemahkan semangat kerja staff adalah cara majikan bercakap atau berkomunikasi.

Ada majikan yang mempunyai anggapan mereka lebih pandai daripada pekerja mereka. Lalu dia bercakap kepada pekerja dengan menggunakan gaya bahasa yang membodohkan si pekerja.

Contoh gaya bercakap dan ayat-ayat yang membuat pekerja berasa dirinya dilayan macam budak-budak mentah, macam orang bodoh:
- Jangan cari pasal.
- Jangan lupa, tahu!
- Ingat, tahu!
- Apa pasal?
- Apa pasal tak boleh?
- Apa sebab tak boleh?
- Kenapa tak boleh?
- Kenapa tak fikir dulu?
- Takkan itu pun tak tahu?
- Takkan itu pun tak faham.
- Fikirlah, kenapa tak fikir?
- Benda kecil macam itu pun tak boleh fikir sendiri.
- Takkan semua perkara saya nak kena cakap!

Bahasa majikan yang macam itu mempunyai kesan sangat negatif pada persekitaran di tempat kerja.

Cakap-cakap macam itu adalah cakap orang yang toksik. Kata-katanya berbisa, beracun, membunuh semangat kerja dan akhirnya menyebabkan pekerja mencari kerja di tempat lain.

Gambar: Aktiviti masyarakat di Pulau Seratus. Sekadar hiasan.

Thursday, 4 November 2021

JENIS HUKUMAN MENGIKUT PERUNDANGAN ISLAM

 
Perkataan jenayah dalam Islam mengandungi pengertian yang am dan khusus. Secara amnya ia bererti sesuatu yang tidak baik dilakukan dan ia merangkumi dosa. 

Dari segi perundangan apa sahaja yang dilarang dalam Islam, jika dilakukan ia adalah satu dosa dan dengan itu boleh ditakrifkan sebagai jenayah dan mempunyai implikasi-implikasi tertentu dari segi hukuman.

Jenayah hudud adalah pelanggaran hak Allah yang dikenali juga sebagai hak awam atau masyarakat dan dalam masa yang sama merupakan satu dosa besar pada pandangan Islam. 

Hukuman hudud tidak boleh digugurkan jika telah sabit dengan bukti di hadapan mahkamah. Begitupun ia boleh digugurkan jika pengakuan itu ditarik balik oleh tertuduh walaupun pada saat-saat akhir sebelum hukuman.

Jenis-jenis kesalahan hudud dan kukumannya adalah tetap tidak boleh dipinda kerana ia bersifat mandatori. Pendakwaan kes-kes hudud dibuat oleh pihak pendakwa awam yang mewakili pihak berkuasa dan juga masyarakat keseluruhannya. 

Oleh sebab yang demikian ia menepati konsep jenayah sebagaimana yang difahami dalam konteks perundangan konvensional kerana ia adalah pelanggaran terhadap sesuatu hak awam atau masyarakat. 

Fungsi hukuman hudud adalah bersifat menghukum dan juga bagi tujuan pencegahan dan kerana itu salah satu rukun yang perlu ada ialah kesalahan itu hendaklah telah dilakukan dengan niat dan dengan cara sengaja.

Takzir ialah satu bentuk pelanggaran hak Allah yakni hak awam dan dalam masa yang sama juga merupakan satu dosa. Jenis kesalahan takzir disebut dalam syariah, tetapi hukumannya terserah kepada budi bicara pemerintah atau hakim yang mendengar sesuatu kes itu.

Hukuman yang dikenakan tidak bersifat mandatori kerana ada banyak pilihan yang boleh dibuat oleh hakim berkenaan dengan mengambil kira keadaan atau status pesalah, melainkan pihak pemerintah telah menetapkan hukuman tertentu bagi kesalahan tersebut.

Pendakwaan bagi kes-kes takzir dilakukan oleh pihak pendakwa awam dan kerana itu takzir juga mempunyai ciri-ciri jenayah dalam konteks konvensional.

Ia juga bertujuan menghukum pesalah dan juga untuk pencegahan. Yang membezakan takzir dengan hudud ialah hukuman hudud sudah ditentukan bagi kesalahan berkenaan dan tidak boleh dipinda atau diubah kepada hukuman lain.

Qisas pula ialah kesalahan yang merangkumi sebarang tindakan salah dengan sengaja dan niat bagi membunuh atau mencederakan seseorang. Ia adalah hukum bunuh balas bunuh dan cedera balas cedera.

Dari segi konsepnya, pelanggaran hak yang berlaku dalam kes qisas adalah terhadap hak Allah/awam dan juga hak individu tetapi Islam menganggap hak individu adalah lebih besar dalam hal ini.

Oleh itu Islam memberikan hak kepada individu berkenaan ataupun warisnya untuk mengambil tindakan ke atas tertuduh. Lantaran itu ia terserah kepada mereka sama ada hendak mengambil tindakan atau tidak.

Kerana itu kesalahan qisas dari segi teknikalnya tidak boleh dikategorikan sebagai jenayah mengikut kaca mata konvensional kerana hak mendakwa bukan terletak kepada pendakwa awam atau masyarakat.

Manakala bagi kes-kes yang tidak terjadi akibat adanya niat dan perlakuan sengaja oleh tertuduh, maka hak mangsa atau keluarganya adalah terhadap pampasan atau ganti rugi yang dikenali dalam Islam sebagai diyat dan daman.

Hukuman qisas juga boleh ditukar dengan tuntutan diyat atau pampasan jika diinginkan oleh mangsa atau warisnya dan mereka juga boleh memberikan kemaafan secara percuma kepada pesalah yang telah disabitkan.

Jika kerana sesuatu sebab khusus qisas tidak dapat dikenakan ke atas pesalah, maka hukuman qisas itu dengan sendiri digugurkan dan diganti dengan diyat atau pampasan.

Kesalahan qisas dan diyat sebenarnya merupakan satu bentuk hukuman yang merangkumi tujuan menghukum pesalah sengaja dan juga memberi pampasan kepada mangsa bagi kesalahan tanpa niat.

Kerana itu ia lebih sesuai dikaitkan dengan undang-undang tort dalam konteks konvensional melainkan ia melibatkan pihak mangsa atau waris menuntut qisas dilaksanakan kepada pesalah di mana elemen pampasan tidak timbul.

Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam pada asasnya merupakan sebahagian daripada ketaatan umat Islam kepada perintah Allah SWT dan kerana itu mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan soal akidah dan keimanan mereka kepada Allah SWT.

Dari segi yang lain pula, hukuman yang dikenakan ke atas penjenayah yang terbukti bersalah, sebenarnya satu proses penyuciannya daripada dosa yang dilakukan.

Ini membezakan kedudukan hukuman Islam dengan hukuman biasa atau sivil di mana tidak seperti pesalah yang menerima hukuman di bawah undang-undang syariah yang akan dikira bersih dari dosa, pesalah di bawah undang-undang biasa tidak akan menikmati kedudukan yang sama.

Ini kerana di bawah perundangan biasa, undang-undang dan hukuman tiada kaitan dengan konsep dosa dan pahala serta perhitungan hisab di hari akhirat.

Lantaran menyedari hakikat inilah kita dapati pada zaman Nabi ada orang yang telah melakukan dosa dan jenayah dengan rela hati datang menemui Nabi meminta dibersihkan daripada dosa dan memohon dijatuhkan hukuman seperti mana yang telah diperuntukkan oleh Allah.

Keadaan ini tidak mungkin berlaku dalam sistem perundangan biasa, bahkan pelaku jenayah akan sentiasa berusaha untuk melepaskan dirinya daripada tuduhan walaupun memang sebenarnya dia telah melakukan jenayah berkenaan.

Sistem perundangan jenayah Islam juga mengambil kira nilai kemanusiaan sejagat. Ini jelas dapat dilihat dalam peruntukan qisas bagi kes bunuh dengan niat serta disengajakan di mana kedudukan dan rasa hati waris mangsa diambil kira dalam menentukan jenis hukuman yang bakal dihadapi oleh pembunuh.

Bagi yang berasa puas hati jika hukuman balas bunuh dapat dikenakan ke atas pembunuh, mereka berhak untuk menuntut agar hukuman demikian dilaksanakan. Ini sudah tentulah akan dapat menghapuskan rasa marah dan keinginan hendak membalas dendam yang lumrahnya ada pada ahli keluarga mangsa yang mati dibunuh.

Manakala bagi yang ingin memaafkan pembunuh boleh berbuat demikian sama ada dengan menuntut pampasan/diyah sebagai balasan ataupun membebaskannya secara percuma.

Elemen pampasan ini sudah tentulah akan lebih bermakna lagi bagi ahli keluarga mangsa yang berada dalam keadaan yang serba kekurangan dari segi kewangan, maka sudah tentulah bayaran yang diterima dapat sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka akibat kematian yang disebabkan jenayah berkenaan.

Namun begitu bagi yang inginkan ganjaran pahala dan tidak perlukan wang pampasan mereka boleh memberikan kemaafan secara percuma, bahkan pilihan inilah yang sangat digalakkan oleh Islam.

Undang-undang hudud diperuntukan bagi menggerunkan masyarakat yang ada cadangan untuk melakukan jenayah berat. Undang-undang ini mempunyai syarat-syarat yang amat banyak sebelum ia boleh dikenakan ke atas seseorang tertuduh.

Kadangkala kelihatan mungkin agak mustahil untuk mensabitkan seseorang tertuduh melainkan dengan pengakuan bersalah yang dibuatnya. Ini jelas bagi sesetengah kes seperti zina yang memerlukan empat orang saksi yang jelas melihat perbuatan itu dilakukan.

Manakala bagi kes-kes yang lain pula sebarang keraguan yang wujud atau berjaya ditimbulkan akan dengan mudah dapat menyebabkan hukuman hudud itu tidak kenakan.

Bahkan seseorang hakim yang membicarakan kes-kes sedemikian dinasihatkan agar sentiasa bersikap terbuka dalam menerima keraguan yang ditimbulkan. Ini adalah kerana secara prinsipnya Islam melihat adalah lebih baik tersilap tidak menghukum daripada tersilap menghukum seseorang di dalam kes-kes hudud.

Sumber media maya

Gambar: Buah kelapa muda untuk mendapatkan airnya. Sekadar hiasan

Sunday, 24 October 2021

JAMBATAN KAMPUNG PANTAI SENOK – PULAU GAJAH

 
Penduduk Kampung Pantai Senok, Bachok bakal mendapat menikmati kemudahan jambatan menghubung kampung tersebut dengan Kampung Pulau Gajah, Kota Bharu yang menyeberangi Sungai Pengkalan Datu.

Dengan pembinaan jambatan dan jalan itu nanti mendekatkan penduduk di Kampung Pantai Senok untuk ke Lapangan Terbang Sultan Ismail dan seterusnya ke bandar Kota Bharu.

Kemudahan ini juga akan memajukan lagi aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan. Di Pantai Senok terdapat pantai peranginan yang mendapat jolokan nama Pulau Nami. Manakala di Kampung Tanjung Kuala Sabak di sebelah Kota Bharu pula terdapat Pantai Nusuk dan Masjid A-Rahman Pulau Gajah.

Projek pembinaan jambatan tersebut yang bernilai RM68.5 juta adalah salah satu daripada empat Projek Jalan Luar Bandar Kelantan yang telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) awal yang jumlah keseluruhan sebanyak RM183.5 juta.

Empat Projek tersebut adalah:

1) Projek bina jalan dan jambatan dari Kampung Joh, Machang ke Kampung Belimbing Tanah Merah merentasi Sungai Kelantan (RM60 juta).

2) Projek bina jalan dan jambatan antara Kampung Pasir Era ke Kampung Pasir Kelang, Kuala Krai merentasi Sungai Kelantan (RM40 juta).

3) Projek naik taraf jalan menghubungkan Kampung Manek Urai ke jalan utama FT008 (Kuala Krai ke Gua Musang), Kuala Krai (RM15 juta).

4) Projek membina jalan dan jambatan dari Kampung Pantai Senok ke Kampung Pulau Gajah, Bachok (RM68.5 juta).

Gambar: Sungai Pengkalan Datu 

Sunday, 17 October 2021

Projek pembangunan semula Kampung Laut

Laman Warisan Serunding Kampung Laut merupakan sebahagian daripada projek pembangunan semula Kampung Laut yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Projek ini bakal menjadikan Kampung Laut sebagai sebuah pusat pelancongan warisan ikonik dan destinasi ‘mesti lawat’ di Kelantan pada masa akan datang.

Laman Warisan Serunding Kampung Laut ini menyediakan 11 ruang niaga untuk memasarkan makanan tradisional terutamanya serunding Kampung Laut yang terkenal.

Selain itu, projek pembangunan semula Kampung Laut ini turut merangkumi Laman Warisan Seni Kampung Laut yang membuka peluang kepada para pengusaha tempatan untuk mempamerkan karya seni mereka.

Laman Warisan Seni ini yang dijangka siap pada awal tahun depan akan menyediakan ruang untuk menjual produk tempatan seperti batik, wau dan kraftangan kepada 12 peniaga tempatan.

Projek pembangunan semula Kampung Laut ini turut memasukkan pemindahan masjid tertua di Malaysia, Masjid Kampung Laut di tapak asal sebagai salah satu komponennya.

Difahamkan, perancangan jangka panjang, Masjid Kampung Laut dan pembangunan Kampung Laut sebagai kampung warisan telah dicalonkan sebagai objek dan tapak warisan kebangsaan dan seterusnya bakal diiktiraf sebagai tapak warisan dunia di bawah UNESCO.

Akan datang, pembinaan Jambatan Palekbang dan Kota Bharu Promenade akan melengkapkan Laman Warisan Kampung Laut sebagai pembangunan bersepadu berasaskan pelancongan di negeri Kelantan dan akan memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan di kawasan-kawasan di sepanjang jalan tersebut.

Tuesday, 12 October 2021

TEROWONG KERETA API MANEK URAI - DABONG

  
Gua Musang merupakan jajahan paling selatan di Kelantan. Sebelum tahun 1982, satu-satunya jalan penghubung Gua Musang dengan jajahan lain di Kelantan ialah melalui kereta api.

Perkhidmatan kereta api amat berjasa kepada Gua Musang dan guru yang berkhidmat di jajahan berkenaan. Ramai guru yang berasal dari jajahan lain menggunakn perkhidmatan kereta api untuk berulang alik.

Pada ketika itu, satu gurauan yang sering diungkapkan mengenai perkhidmatan kereta api dari Stesen Kuala Krai ke Stesen Gua Musang ialah perjalanannya mengambil masa lapan hari lapan malam.

Woi... jauh benar tu. Bagi mereka yang tidak pernah menggunakan perkhidmatan kereta api itu pasti akan rasa terkejut. Mana mungkin mengambil masa lapan hari lapan malam sedangkan jarak perjalanan hanya kira-kira 100 kilometer sahaja.

Sebenarnya yang dikatakan masa lapan hari lapan malam itu ialah kereta api akan melalui sebanyak lapan terowong. Setiap kali memasuki terowong yang gelap dikatakan telah masuk malam.

Apabila keluar terowong keadaan cerah dikatakan hari siang. Jadi, lapan kali masuk keluar terowong itu dikatakan telah lapan hari lapan malam.

Terowong bermula antara laluan Stesen Manek Urai, Bukit Abu dan Dabong. Terowong itu dipanggil “Bukit Korek” oleh penduduk tempatan.

Panjang setiap satu terowong itu antara 50 hingga 670 meter melalui  kawasan bukit batu kapur.

Gambar: Salah satu terowong korek. 

Saturday, 9 October 2021

KIJANG ZON WARISAN BUDAYA

 
Kijang adalah lambang negeri Kelantan. Ada nama kampung dinamakan ‘kijang’ iaitu Kampung Kijang. Ada satu kem terkenal untuk aktiviti pengakap dan perkhemahan iaitu Kem Kijang. Dahulu ada satu bulatan yang dikenali Bulatan Kijang di Kampung Sireh.

Satu lagi nama yang lebih besar ialah kijang adalah salah satu nama kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Kijang.

Sememangnya DUN Kijang sudah terkenal dengan kawasan pelancongan dan kraftangan di negeri Kelantan.

Bermula dari Zon Songket di Kampung Penambang, deretan gerai jagung di Kampung Redang, Pusat Riadah Keluarga di Pantai Kundur dan Pantai Mek Mas, Zon Batik di Kedai Buloh dan kraftangan membuat wau, Medan Ikan Bakar dan juga perusahan membuat keropok.

Pantai Cahaya Bulan (PCB) yang juga destinasi pelancongan yang terletak di dalam DUN Kijang ini merupakan pantai peranginan terawal di Kelantan.

Gambar: Bulatan Gok Kapor, lokasi bermula kawasan DUN Kijang

Tuesday, 5 October 2021

MELAYU TERPERANGKAP ISTILAH RASIS

 
Rasis dan perkauman telah lama menjadi istilah yang mengikat orang-orang Melayu daripada bercakap tentang kepentingan Melayu.

Dua istilah ini sekaligus menjadi fobia kepada orang Melayu, bimbang kalau apa yang dikatakan terjebak dalam erti rasis atau perkauman. Mereka tidak mahu menyinggung perasaan kaum lain.

Bagaimanapun dari sudut lain, fobia dilabel dua istilah ini pula membuka laluan kepada kaum lain bertindak sebaliknya kepada orang Melayu.

Sebenarnya kedua-dua istilah ini tidak ada dalam perbendaharaan kata adat dan berbudaya orang Melayu. Orang Melayu tidak diajar untuk berlaku rasis kepada kaum lain.

Dalam budaya dan tradisi Melayu, tetamu tetap dirai, silap dan lantangnya pula terpaksa ditelan dengan senyum dan bermanis muka.

Inilah orang Melayu. Sejak turun temurun mereka diasuh mendahulukan yang datang seperti kata bidalan, orang asing yang singgah kekenyangan, anak di rumah mati kelaparan.

Dalam konteks politik, orang Melayu berpesan kepada diri sendiri supaya memegang etika sebagai tuan rumah. Tetapi pada masa yang sama, sesetengah pihak dalam kalangan kaum yang datang ke negara ini tidak membawa budaya pendatang yakni menjaga hati tuan rumah.

Tetapi apalah gunanya menjadi tuan rumah kalau terlalu kerap disuruh beralah dengan gelagat orang asing yang datang ke rumah mereka?

Sebenarnya orang Melayu di negara ini sudah lama dimangsai oleh dua istilah di atas yang dilabelkan dengan sewenang-wenangnya kepada kepada orang Melayu yang menyuarakan tentang hak mereka.

Ketidakadilan menggunakan label ini sangat jelas apabila rasis tidak dirujuk kepada kaum lain, melainkan orang Melayu.

Persoalannya benarkah orang Melayu rasis ketika ada kaum lain yang berarak dan membuat keganasan di jalan-jalan raya mempertikaikan hak orang-orang Melayu?

Dalam sebuah kampung yang dihuni oleh orang Melayu bukanlah suatu fenomena yang luar biasa kalau ada sebuah kedai runcit Cina yang begitu maju perniagaannya.

Siapakah yang memajukan perniagaan kedai runcit ini kalau bukan semua orang Melayu di kampung berkenaan?

Kalau benar orang Melayu mengamalkan racisme, percayalah tidak ada kedai India atau Cina di kampung-kampung Melayu. Orang Melayu tidak ada masalah untuk berurusan jual beli di kedai milik Cina dan sikap ini bukan dibuat-buat sebaliknya memang menjadi amalan sejak dulu lagi.

Di pekan atau bandar-bandar pula, sebahagian besar kedai dimiliki oleh orang Cina dan segelintir saja dimiliki orang Melayu. Orang Cina tidak pergi ke kedai orang Melayu seperti orang Melayu berduyun-duyun ke kedai Cina. 

Malah sikap terbuka orang Melayu ini juga banyak membunuh perniagaan orang Melayu di pekan dan bandar-bandar besar apabila orang Melayu pilih kedai Cina dan orang Cina pilih kedai kaumnya.

Itupun orang Melayu tetap dianggap kaum yang mengamalkan racisme terhadap kaum lain.

Gambar kembara berjalan kaki (hiking) ke Bukit Gua Kambing tiada kaitan dengan tulisan ini. Sekadar hiasan. 

Friday, 1 October 2021

JETI KOK MAJID SUNGAI KELANTAN

  
Kampung Kok Majid terletak di tebing Sungai Kelantan. Jaraknya dari Kota Bharu kira-kira 15 kilometer.

Kampung Kok Majid agak terkenal di kalangan penduduk yang ingin berurusan dengan penduduk di beberapa pulau di delta Sungai Kelantan.

Mereka yang ingin ke Pulau Renjuna, Pulau Seratus, Pulau Beluru, Pantai Suri, Pulau Pantai Haji Nik Mat dan kawasan sekitarnya perlu menaiki bot di Jeti Kok Majid.

Mereka yang berkenderaan ingin ke kawasan berkenaan akan akan meletakkan kenderaan di Jeti Kok Majid dan seterusnya menggunakan perkhidmatan bot yang disediakan.

Bot berkenaan akan singgah di jeti-jeti yang terdapat di pulau-pulau berkenaan untuk mengambil atau menurunkan penumpang.

Kampung Kok Majid adalah salah satu kampung di jajahan Tumpat yang ada perkataan ‘kok’.

Nama kampung lain yang ada perkataan ‘kok’ ialah Kampung Kok Keli, Kampung Kok Pasir, Kampung Kok Timun, Kampung Kok Bedolah, Kampung Kok Semru, Kampung Kok Serai, Kampung Baroh Kok Pauh, Kampung Atas Kok, Kampung Kok Beluru, Kampung Kok Tok Leh dan Kampung Kok Seraya.

Saturday, 25 September 2021

PEMIMPIN TIDAK SEMESTINYA ULAMA

 
Dalam memastikan ciri-ciri kepimpinan yang adil dimiliki oleh seseorang yang berhajat mahupun dilantik selaku pemimpin yang bertanggungjawab, garis panduan dihuraikan dalam tiga perkara iaitu yang pertama meletakkan nilai agama sebagai yang utama.

Disebutkan seseorang pemimpin itu tidaklah semestinya seseorang yang pakar ilmu agama, tetapi pemimpin perlulah terbuka dan bersedia menerima nasihat ulama dalam urusan pentadbirannya.

Bahkan sejarah telah menulis begitu banyak kalangan ulama yang menjadi nadi dalam menasihati pemerintah dan penguasa yang terkenal.

Ulama dan pemimpin boleh memainkan peranan yang lebih baik sekiranya mereka memahami tanggungjawab masing-masing dan saling melengkapi.

Perkara kedua pula adalah memastikan kebersamaan pemimpin dan pengikut itu dalam satu ikatan atau nilai yang sama. Nilai yang mengikat adalah keadilan dan akhlak yang konsisten di antara pemimpin dan rakyat.

Nilai akhlak dalam urusan menjalankan kuasa dan amanah pentadbiran pemimpin itu dan melaksanakan tanggungjawab rakyat mestilah adil, tidak disalahguna atau pilih kasih.

Walaupun memiliki kuasa, seseorang pemimpin itu masih terikat dengan kedudukannya sebagai hamba kepada Allah yang maha berkuasa.

Seterusnya yang ketiga, perlu disematkan dalam minda bahawasanya tiada siapa dikalangan manusia itu memiliki kuasa mutlak kerana semua dari kita adalah terikat dengan kuasa mutlak yang ada pada Allah SWT.

Hanya yang benar-benar memiliki kuasa mutlak itu adalah Allah SWT. Dialah yang maha benar, maha adil dalam menghukum pada hari pembalasan.

Tiada yang dapat dirahsiakan dan disembunyikan daripada pengetahuan dan pandangan Allah, dan kita semua akan diberi ganjaran atau balasan dengan seadil-adilnya di akhirat kelak oleh sebenar-benar Penguasa.

Imam al Ghazali dari kitab Nasihat al Muluk menyebut berkenaan nasihatnya kepada penguasa iaitu manusia jika tidak diingatkan tentang sifat Tuhan, ia akan cenderung menjadi lupa akan kekuasaan Tuhan dan boleh menjurus kepada kezaliman dan penganiayaan.

Melihat kepada usaha menerapkan amanah dalam diri pemimpin menurut Islam adalah pertama dia harus memiliki ilmu tentang pemilik kuasa yang sebenar. Ilmu tetang sifat-sifat dan kekuasaan Allah akan memandu dan menjaga akhlak dan perbuatannya dalam mentadbir dengan bertanggungajwab dan taqwa kepada Allah.

Kedua adalah penguasaan ilmu dalam urusan amanah yang dipegangnya. Ilmu ini akan mengingatkan dirinya berkenaan pelaksana syariat Allah dan urusan hukum hakam kepimpinannya.

Sesiapa yang menyasarkan kuasa kepimpinan itu perlulah mengukur baju dibadan sendiri dengan melihat kemampuan dan kelayakan diri. Ini bagi mengelakkan dari kelemahan pentadbiran, penyalahgunaan kuasa dan kezaliman kepada orang yang dipimpinnya.

Friday, 17 September 2021

EJAAN BETUL 'DIRAJA'

 
Banyak pasukan atau jabatan yang menggunakan perkataan Diraja. Manakah ejaan betul untuk Diraja sama ada ‘Diraja’ atau ‘DiRaja’?

Ejaan yang betul ialah Diraja. Perkataan Diraja dalam konteks ini merujuk pada hak (milik, dinaungi oleh) raja.

Jadi ejaan yang betul ialah Rejimen Askar Melayu Diraja, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Rejimen Renjer Diraja, Maharani Bandar Diraja, Kuala Kangsar Bandar Diraja dan sebagainya.


Wednesday, 8 September 2021

KAIN PELEKAT SARUNG LELAKI TERBAIK

 
Kain pelekat digunakan kaum lelaki ketika menunaikan sembahyang, santai di rumah mahupun melakukan aktiviti di luar. Ia dipakai labuh sehingga paras buku lali dengan bahagian atas berada pada bahagian atas pusat. 

 
Terdapat banyak jenama pelekat yang terkenal di negara kita. Majoritinya buatan Indonesia. Setiap jenama mempunyai ciri dan keistimewaan tersendiri. 

Kami ada menjual beberapa jenama pelekat terbaik di pasaran secara dalam talian. Mudah, cepat dan murah. 
 
PELEKAT MANGGA NUR AJUNG

LAICIKANG RESIPI MASAK SENDIRI

 
Menu laici kang semakin menjadi pilihan. Biasanya penggemar laici kang akan menikmatinya di restoran atau kedai makan. Sebenarnya tidak susah hendak sediakan laici kang. 

Apa yang penting mesti ada bahan untuk membuatnya. Bahan membuat laici kang tidak semestinya 'lengkap'. Apa yang penting ialah ada beberapa bahan yang biasa terdapat di dalam menu hidangan laici kang. 

Sekejap! Bagaiamana ejaan sebenar? Laici kang, lin chee kang, laicikang, cikang, cikong atau lai chi kang? Tidak kisah mana ejaan yang betul, asalkan ia difahami.  

Bahan membuat laici kang boleh dibeli berasingan atau yang telah disediakan secara bercampur.

Bahan-bahan:
- Biji Lotus.
- Longan kering.
- Kurma merah.
- Anggur kering.
- Gula batu.
- Biji selasih.
- Cendawan salji / kulat putih.
- Kembang semangkuk
- Buah kundur

Kebaikan atau faedah mengamalkan laici kang:
- Mengatasi masalah badan panas.
- Membantu penghadaman.
- Menambah darah.
- Mengatasi masalah insomnia.
- Meningkatkan kesihatan kulit.

Ciri-ciri lain:
-  Bahan pemakanan yang baik untuk kesihatan.
-  100% asli dengan bahan semulajadi
-  Tiada tambahan pengawet atau pewarna buatan

Cara memasak:
- Bilas semua bahan-bahan atau sekadar menjirus air.
- Masukkan bahan ke dalam periuk atau bekas memasak.
- Tambah 1.5 hingga 2 liter air.
- Masukkan 2 - 3 daun pandan untuk aroma.
- Tambah gula mengikut tahap kemanisan yang diperlukan. 
- Tidak perlu tambah gula jika tidak suka manis atau untuk kesihatan.
- Panaskan sehingga mendidih sehingga 30 minit.
- Siap untuk dihidangkan ketika suam-suam atau sejuk. 
- Boleh ditambahkan ketulan ais. 

Dapatkan bahan membuat laicikang secara dalam talian. Mudah cepat murah.

KLIK DI SINI
KLIK DI SINI
KLIK DI SINI