Saturday 25 September 2021

PEMIMPIN TIDAK SEMESTINYA ULAMA

 
Dalam memastikan ciri-ciri kepimpinan yang adil dimiliki oleh seseorang yang berhajat mahupun dilantik selaku pemimpin yang bertanggungjawab, garis panduan dihuraikan dalam tiga perkara iaitu yang pertama meletakkan nilai agama sebagai yang utama.

Disebutkan seseorang pemimpin itu tidaklah semestinya seseorang yang pakar ilmu agama, tetapi pemimpin perlulah terbuka dan bersedia menerima nasihat ulama dalam urusan pentadbirannya.

Bahkan sejarah telah menulis begitu banyak kalangan ulama yang menjadi nadi dalam menasihati pemerintah dan penguasa yang terkenal.

Ulama dan pemimpin boleh memainkan peranan yang lebih baik sekiranya mereka memahami tanggungjawab masing-masing dan saling melengkapi.

Perkara kedua pula adalah memastikan kebersamaan pemimpin dan pengikut itu dalam satu ikatan atau nilai yang sama. Nilai yang mengikat adalah keadilan dan akhlak yang konsisten di antara pemimpin dan rakyat.

Nilai akhlak dalam urusan menjalankan kuasa dan amanah pentadbiran pemimpin itu dan melaksanakan tanggungjawab rakyat mestilah adil, tidak disalahguna atau pilih kasih.

Walaupun memiliki kuasa, seseorang pemimpin itu masih terikat dengan kedudukannya sebagai hamba kepada Allah yang maha berkuasa.

Seterusnya yang ketiga, perlu disematkan dalam minda bahawasanya tiada siapa dikalangan manusia itu memiliki kuasa mutlak kerana semua dari kita adalah terikat dengan kuasa mutlak yang ada pada Allah SWT.

Hanya yang benar-benar memiliki kuasa mutlak itu adalah Allah SWT. Dialah yang maha benar, maha adil dalam menghukum pada hari pembalasan.

Tiada yang dapat dirahsiakan dan disembunyikan daripada pengetahuan dan pandangan Allah, dan kita semua akan diberi ganjaran atau balasan dengan seadil-adilnya di akhirat kelak oleh sebenar-benar Penguasa.

Imam al Ghazali dari kitab Nasihat al Muluk menyebut berkenaan nasihatnya kepada penguasa iaitu manusia jika tidak diingatkan tentang sifat Tuhan, ia akan cenderung menjadi lupa akan kekuasaan Tuhan dan boleh menjurus kepada kezaliman dan penganiayaan.

Melihat kepada usaha menerapkan amanah dalam diri pemimpin menurut Islam adalah pertama dia harus memiliki ilmu tentang pemilik kuasa yang sebenar. Ilmu tetang sifat-sifat dan kekuasaan Allah akan memandu dan menjaga akhlak dan perbuatannya dalam mentadbir dengan bertanggungajwab dan taqwa kepada Allah.

Kedua adalah penguasaan ilmu dalam urusan amanah yang dipegangnya. Ilmu ini akan mengingatkan dirinya berkenaan pelaksana syariat Allah dan urusan hukum hakam kepimpinannya.

Sesiapa yang menyasarkan kuasa kepimpinan itu perlulah mengukur baju dibadan sendiri dengan melihat kemampuan dan kelayakan diri. Ini bagi mengelakkan dari kelemahan pentadbiran, penyalahgunaan kuasa dan kezaliman kepada orang yang dipimpinnya.

No comments:

Post a Comment