Tuesday 5 October 2021

MELAYU TERPERANGKAP ISTILAH RASIS

 
Rasis dan perkauman telah lama menjadi istilah yang mengikat orang-orang Melayu daripada bercakap tentang kepentingan Melayu.

Dua istilah ini sekaligus menjadi fobia kepada orang Melayu, bimbang kalau apa yang dikatakan terjebak dalam erti rasis atau perkauman. Mereka tidak mahu menyinggung perasaan kaum lain.

Bagaimanapun dari sudut lain, fobia dilabel dua istilah ini pula membuka laluan kepada kaum lain bertindak sebaliknya kepada orang Melayu.

Sebenarnya kedua-dua istilah ini tidak ada dalam perbendaharaan kata adat dan berbudaya orang Melayu. Orang Melayu tidak diajar untuk berlaku rasis kepada kaum lain.

Dalam budaya dan tradisi Melayu, tetamu tetap dirai, silap dan lantangnya pula terpaksa ditelan dengan senyum dan bermanis muka.

Inilah orang Melayu. Sejak turun temurun mereka diasuh mendahulukan yang datang seperti kata bidalan, orang asing yang singgah kekenyangan, anak di rumah mati kelaparan.

Dalam konteks politik, orang Melayu berpesan kepada diri sendiri supaya memegang etika sebagai tuan rumah. Tetapi pada masa yang sama, sesetengah pihak dalam kalangan kaum yang datang ke negara ini tidak membawa budaya pendatang yakni menjaga hati tuan rumah.

Tetapi apalah gunanya menjadi tuan rumah kalau terlalu kerap disuruh beralah dengan gelagat orang asing yang datang ke rumah mereka?

Sebenarnya orang Melayu di negara ini sudah lama dimangsai oleh dua istilah di atas yang dilabelkan dengan sewenang-wenangnya kepada kepada orang Melayu yang menyuarakan tentang hak mereka.

Ketidakadilan menggunakan label ini sangat jelas apabila rasis tidak dirujuk kepada kaum lain, melainkan orang Melayu.

Persoalannya benarkah orang Melayu rasis ketika ada kaum lain yang berarak dan membuat keganasan di jalan-jalan raya mempertikaikan hak orang-orang Melayu?

Dalam sebuah kampung yang dihuni oleh orang Melayu bukanlah suatu fenomena yang luar biasa kalau ada sebuah kedai runcit Cina yang begitu maju perniagaannya.

Siapakah yang memajukan perniagaan kedai runcit ini kalau bukan semua orang Melayu di kampung berkenaan?

Kalau benar orang Melayu mengamalkan racisme, percayalah tidak ada kedai India atau Cina di kampung-kampung Melayu. Orang Melayu tidak ada masalah untuk berurusan jual beli di kedai milik Cina dan sikap ini bukan dibuat-buat sebaliknya memang menjadi amalan sejak dulu lagi.

Di pekan atau bandar-bandar pula, sebahagian besar kedai dimiliki oleh orang Cina dan segelintir saja dimiliki orang Melayu. Orang Cina tidak pergi ke kedai orang Melayu seperti orang Melayu berduyun-duyun ke kedai Cina. 

Malah sikap terbuka orang Melayu ini juga banyak membunuh perniagaan orang Melayu di pekan dan bandar-bandar besar apabila orang Melayu pilih kedai Cina dan orang Cina pilih kedai kaumnya.

Itupun orang Melayu tetap dianggap kaum yang mengamalkan racisme terhadap kaum lain.

Gambar kembara berjalan kaki (hiking) ke Bukit Gua Kambing tiada kaitan dengan tulisan ini. Sekadar hiasan. 

1 comment:

  1. How do casino slots work? - Dr.MCD
    When using the slot 공주 출장샵 machines, the 동해 출장안마 players can have an 부천 출장마사지 amazing experience playing Some slot machines can also 춘천 출장안마 run any type of 고양 출장샵 machine, and even

    ReplyDelete