Berbicara
dengan berhemah dan santun dalam menyampaikan teguran amat penting
dilakukan semasa berdakwah. Selain itu, teguran itu mesti
dilakukan pada tempat dan masa yang sesuai.
Bayangkan jika kita menegur seseorang ketika berada di hadapan orang
ramai. Tentu perbuatan itu boleh
mendatangkan aib dan rasa dendam.
Dalam hal ini, Allah SWT telah mengingatkan dalam
firman yang bermaksud: “Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan
hikmah dan pengajaran yang baik (bijaksana) dan bantahlah mereka dengan cara
yang baik” (Surah an-Nahl, ayat 125).
Dalam
keadaan tertentu, teguran tidak sesuai dilakukan tanpa terlebih dahulu wujud
hubungan antara pendakwah dengan orang didakwah. Untuk dakwah lebih berkesan perlukan kepada
kejelekitan atau hubungan akrab saling mempercayai dan menghormati. Mereka
boleh menerima dakwah itu secara lebih terbuka dan memikirkan kebenarannya.
Dakwah adalah usaha membawa manusia ke jalan yang
benar, yakni agama Islam yang dibawakan oleh Nabi Muhammad SAW. Orang yang didakwah itu sama ada orang Islam
yang sudah lari daripada jalan yang benar, ataupun mereka yang belum beragama
Islam.
Tugas dakwah perlu dilakukan setiap muslim
mengikut kemampuan masing-masing. Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sampaikanlah daripadaku walaupun hanya satu
ayat.” (Hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan
Tirmizi)
Namun
dalam berhemah dan bersantun, perkara yang benar perlu dipertahankan. Jika perlu dilakukan dengan ketegasan dan
segera, serta difikirkan bahawa itulah langkah yang terbaik untuk menghalang
keburukan daripada terus berlaku atau menjadi semakin buruk, tindakan itu perlu
dilakukan.
Ini
ditakuti nanti jika tidak dicegah segera, orang akan menganggap perkara itu
tidak salah. Dalam banyak hal, orang
yang tidak mempunyai pegangan agama atau cetek pegangan agama akan mudah
terpengaruh dengan apa yang mereka lihat dan dengar.
Contohnya
dalam soal penyebaran ajaran sesat, tindakan tegas menangkap dan menghadapkan
mereka ke mahkamah perlu dilakukan segara. Tindakan itu dapat mengelak ajaran itu tersebar luas dan diterima orang
kebanyakan.
Ingatlah, tugas dakwah dan mencegah kemungkaran perlu dilakukan bagi
memastikan kesucian agama terus terpelihara. Kita jangan terikut-ikut amalan bani Israil yang menyebabkan mereka
semakin sesat daripada jalan kebenaran.
No comments:
Post a Comment