Banyak
pelajar bercita-cita ingin belajar di asrama penuh. Begitu juga dengan ibu bapa
pasti berbangga jika anak mereka belajar di sekolah asrama penuh. Minat belajar
di asrama penuh timbul dari reputasi pelajar yang mendapat kejayaan cemerlang
dalam peperiksaan awam yang diadakan seperti PT3 dan SPM.
Selain
itu, belajar di asrama penuh mampu mendidik pelajar berdikari. Pelajar tinggal
di asrama perlu mengurus sendiri keperluan harian seperti membasuh baju,
melipat baju, membasuh kasut dan sebagainya. Mereka tidak boleh mengharapkan
ibu bapa atau rakan-rakan lain membantu. Masing-masing perlu melakukan sendiri.
Membina
keyakinan diri adalah antara sifat pelajar asrama penuh. Mereka perlu yakin
untuk hidup tanpa ibu bapa di sisi. Individu terdekat sepanjang tinggal di
asrama hanyalah rakan-rakan dan guru.
Maka
tidak keterlaluan jika mereka perlu membentuk kumpulan dalam mencari kekuatan
dan keyakinan diri. Dalam aspek ini wujud pula kesan negatifnya apabila mereka
cuba berlagak lebih berkuasa berbanding rakan lain. Inilah punca berlaku budaya
dera di asrama penuh.
Satu
lagi kelebihan belajar di asrama penuh ialah pelajar berpeluang mengikuti
kokurikulum teratur. Ini memandangkan mereka tinggal di asrama. Mudah pihak
sekolah menguruskan aktiviti mengikut masa yang sesuai. Pelajar juga mempunyai
masa lebih kerana tidak terganggu dengan masa pergi dan balik sekolah setiap
hari seperti pelajar sekolah harian.
Memandangkan
pelajar tinggal di asrama, mereka sering bersaing sesama mereka semasa belajar.
Semangat belajar timbul apabila lihat rakan-rakan yang lain tekun belajar. Jadi,
mereka akan berasa ‘bersalah’ jika tidak belajar. Tambahan lagi, jika dalam
peperiksaan dirinya ketinggalan berbanding rakan lain.
Pihak
sekolah asrama penuh memberi perhatian lebih kepada pelajarnya. Ini bagi
memastikan pelajar yang telah terpilih dari seluruh negara tidak
mempersia-siakan kemampuan yang sememangnya lebih baik berbanding rakan-rakan
yang lain. Mereka pelajar terpilih.
Selain
itu, pihak pengurusan perlu mempertahankan reputasi sekolah berasrama penuh.
Tentu, mereka tidak mahu dikalahkan oleh sekolah harian biasa dalam melahirkan
pelajar cemerlang.
Satu
lagi kelebihan sekolah asrama penuh ialah semua kemudahan pembelajaran
disediakan oleh pihak sekolah. Kemudahan ini memberi banyak kelebihan, terutama
kepada pelajar miskin. Kemudahan itu tidak mampu disediakan oleh keluarga jika
tinggal di rumah.
Namun,
tidak dapat dinafikan ada juga keburukan belajar di sekolah asrama penuh yang
terpaksa dihadapi oleh pelajar.
Perkara
pertama ialah hilang keyakinan diri. Banyak pelajar tidak mampu untuk
berdikari. Mereka mula hilang keyakinan. Bahkan ada yang menarik diri setelah
beberapa minggu berada di asrama penuh.
Bagi
yang terus belajar, mereka yang hilang keyakinan diri akan mengambil langkah
sekadar ikut-ikut saja. Mereka tidak mampu untuk bersaing dengan rakan-rakan
lain. Inilah antara punca mengapa pelajar yang cemerlang di sekolah harian
biasa apabila pergi ke asrama penuh tidak mempu mengekalkan prestasi sebelumnya.
Biarpun
kita mengaitkan dengan berdikari, pada hakikatnya pelajar masih perlu kepada
perhatian dan jagaan ibu bapa. Bagi pelajar yang tinggal di asrama, masa
bersama dengan ibu bapa amat kurang, melainkan pada masa cuti. Begitu juga
dengan adik beradik akan terdapat jurang dan kurang kemesraan.
Lebih
parah lagi apabila terdapat pelajar asrama penuh merasa ‘keras kepala’
merasakan dirinya lebih hebat berbanding dengan adik beradik lain. Disebabkan
itu hubungan dengan adik beradik lain semakin jauh. Sudahlah jarang berjumpa,
ditambah pula sikap bongkak dan ego menguasai diri.
Apapun,
baik dan buruknya bergantung kepada pelajar itu sendiri. Kerajaan sudah
menyediakan yang terbaik untuk pelajar. Gunakan peluang belajar di asrama penuh
dengan sebaik-baiknya.
No comments:
Post a Comment