Friday, 15 November 2024

ANAK BERTANYA DI MANA ALLAH?

 
Pertanyaan "Di mana Allah?" merupakan antara pertanyaan daripada anak kecil yang kadangkala terbit kerana keinginannya untuk mencambahkan pengetahuannya tentang Tuhan sekalian alam.
 
Maka, selari dengan disiplin dalam menimba ilmu agama, apa-apa perkara yang berkait dengan perihal agama haruslah disandarkan ataupun dirujuk kepada mereka yang arif dalam hal agama seperti ulama agar hal yang ingin disampaikan itu bertepatan dengan pegangan agama.
 
Sheikh Zainul Abidin atau lebih dikenali dengan nama Tuan Minal Al-Fathoni telah menjelaskan dalam kitabnya Irsyadul Ibad jawapan bagi pertanyaan "Di mana Allah?".
 
Kata Tuan Minal: "Maka jika berkata bagi engkau oleh yang berkata: Di mana Allah Taala? Maka jawabnya tiada ia pada tempat"
 
Maka, jawapan bagi pertanyaan "Di mana Allah?" ialah Allah tidak bertempat. Inilah jawapan yang harus diberikan oleh para ibu bapa kepada anak-anak mereka.
 
Usah pula diberi jawapan seperti "Allah di langit" atau "Allah di mana-mana" atau "Allah di dalam Kaabah" atau "Allah di dalam masjid".
 
Terangkan kepada anak-anak bahawasanya Allah menciptakan bumi, langit, laut, udara dan sekalian tempat. Allah telah ada sebelum segala sesuatu ada. Maka Dia tidak bertempat.
 
Jika anak masih tidak faham akan jawapan yang diberikan, tegaskan sahaja agar anak itu hafal akan jawapan tersebut dan tenteramkan dirinya dengan mengatakan suatu hari nanti dia akan faham apabila meningkat dewasa kelak.
 
Asas aqidah beriman kepada Allah adalah beriman bahawasanya Allah mencipta segala sesuatu, Dia tidak sama dengan ciptaanNya.
- Allah cipta langit sebagai tempat bagi malaikat. Maka Allah bukan di langit
- Allah cipta bumi sebagai tempat bagi manusia, haiwan dan tumbuhan. Maka Allah bukan di bumi
- Allah cipta udara di mana-mana. Maka Allah bukan di mana-mana.
- Allah mencipta arasy tetapi Dia bukan duduk di atasnya. Yang tepat ialah Allah menguasai arasy, bukan duduk di atas arasy.
 
Allah telah ada tanpa permulaan sebelum segala sesuatu ada. Sayyiduna Ali ibn Abi Talib telah mengatakan: "Sesungguhnya Allah menciptakan arasy untuk menzahirkan kekuasaan-Nya, bukan mengambilnya sebagai tempat bagi zat-Nnya"
 
Pengetahuan Allah meliputi sesuatu. Allah Maha mengetahui segala perkara di alam ini tetapi tidak boleh kita mengatakan Allah di mana-mana.
 
Maka, jawapan yang tuntas bagi pertanyaan "Di mana Allah?" ialah Allah tidak bertempat.

No comments:

Post a Comment