Monday, 20 November 2017

HADIS TIDAK BERCANGGAH DENGAN AL-QURAN


Kandungan al-Quran dan hadis sama sekali bercanggah. Jika sesuatu tiada dinyatakan dalam al-Quran, tetapi disuruh atau ditegah oleh Rasulullah, itu bukan bermakna baginda sengaja mengadakan sesuatu hukum.

Antara perkara utama yang ditekankan dan diarahkan oleh al-Quran ialah menjadikan Muhammad bin Abdullah, Rasulullah SAW sebagai ikutan kita di alam ini. Kepercayaan kita kepada al-Quran sebagai kitab petunjuk sejati tidak sempurna jika tidak disulami dengan kepercayaan bahawa Rasulullah SAW adalah wakil Allah kepada kita.

Sebagai wakil Allah, Bagindalah yang paling mengetahui kehendak Allah dalam al-Quran. Justeru, apa saja kefahaman kita terhadap mana-mana saja ayat al-Quran tidak boleh diterima sekiranya tidak melalui pengesahan kefahaman Rasulullah SAW.

Dalam satu riwayat, Ibnu Masud berkata: “Allah melaknati pembuat tatu, orang yang meminta tatu, orang yang mencabut bulu badan dan juga orang yang merenggangkan gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah.”

Kenyataan ini sampai ke telinga seorang wanita daripada Bani Asad yang bernama Ummu Ya’qub lalu dia datang lalu berkata: “Saya dengar kamu melaknat sekian dan sekian!” Ibnu Mas’ud menjawab: “Apa salahnya saya melaknat orang yang dilaknat oleh Rasulullah SAW dan juga yang terdapat dalam kitab Allah?”

Wanita itu berkata: “Saya sudah membaca keseluruhan al-Quran dan saya tidak menjumpai apa yang kamu sebutkan itu.” Ibnu Mas’ud menjawab: “Jikalau engkau benar-benar membacanya pasti engkau akan menjumpainya. Tidakkah engkau membaca (ayat 7 Surah al-Hasyr) yang bermaksud: “Dan apa yang dibawa oleh Rasul maka hendaklah kamu semua ambil dan apa yang ditegah olehnya maka hendaklah kamu tinggalkan?” Wanita itu menjawab: “Sudah tentu.” Ibnu Mas’ud berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW menegah perbuatan itu.” (Hadis riwayat Bukhari).

Bagaimanpun, hari kita ingat atau sedar bahawa terdapat 'hadis palsu' yang berlegar dalam masyarakat. Terdapat musuh Islam untuk membuat penyelewengan dalam hadis dengan memalsukan kenyataan dan menyandarkannya kepada Rasulullah SAW.

Walaupun begitu, Allah sudah menjanjikan bahawa agama-Nya akan kekal terpelihara. Kewujudan ulama yang pakar dan mahir dengan selok-belok hadis dapat mengatasi kemelut pemalsuan ini.

Dr Subhi al-Salih dalam kitabnya Ulum al-Hadis wa Mustalahuh menyatakan bahawa apabila al-Imam Abdullah bin al-Mubarak ditanya: “Bagaimana dengan hadis palsu?” Beliau menjawab: “Akan muncul pakar yang membanterasnya. Allah telah berfirman (dalam Surah al-Hijr ayat 9) yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan peringatan dan pasti Kami akan menjaganya.”

Secara umumnya membezakan lalu membanteras hadis palsu adalah satu-satunya jalan untuk menjaga kemurnian agama Islam daripada diselewengkan dari sudut ini. Semoga Allah memperbanyakkan individu Muslim yang kritis dan cergas dalam mempertahankan agama Islam dengan mempertahankan hadis Rasulullah SAW.

No comments:

Post a Comment