Wednesday 30 March 2016

BATASAN DALAM BERHIBUR

Masyarakat Islam di negara kita ramai yang keliru mengenai hiburan dan muzik yang diharuskan dalam Islam. Masih ramai yang berpendapat hiburan dan irama muzik Islam mesti berasaskan kepada kesenian dan kebudayaan Arab dan Parsi.  

Kesenian dan kebudayaan adalah salah satu daripada cabang kehidupan manusia. Setiap bangsa mempunyai kesenian dan kebudayaan tersendiri yang sesuai dengan pembinaan jati diri bangsa. 

Dr Yusuf al-Qaradawi menggariskan panduan yang mengharuskan pemainan muzik dan nyanyian. Perkara pertama; lirik lagu, seni kata dan persembahannya tidak bertentangan akidah Islam dan hukum syarak. Lirik lagu yang mempertikaikan akidah Islam dan kebesaran Allah, tidak harus didengar.

Kedua; persembahan hendaklah dalam bentuk sopan. Ia tidak melibatkan pergerakan yang memberangsangkan nafsu dan melalaikan. 

Ketiga; tidak melibatkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan, tidak diadakan di tempat yang boleh mendatangkan fitnah, tidak diadakan di tempat yang gelap atau separuh gelap yang boleh memberi ruang kepada syaitan mempengaruhi perkara tidak baik.

Keempat; tidak dilakukan secara keterlaluan sehingga mendatangkan pelbagai perkara buruk. Apa lebih penting hiburan itu tidak melalaikan manusia daripada melakukan perintah-perintah Allah.

Pada umumnya, seni nyanyian dan muzik bertujuan melahirkan hiburan dan keseronakan. Segala bentuk hiburan berfungsi membina keterampilan diri, mempamerkan bakat, menghasilkan ketenangan jiwa, menjana pemikiran kreatif dan menghilangkan rasa tegang. 

Keadaan jiwa yang tenang dan fikiran yang tajam mudah menerima hakikat kehidupan di sekelilingnya. Hal ini melahirkan cetusan rasa dan keinginan yang sentiasa peka untuk melahirkan masyarakat yang harmoni, sejahtera dan serasi.

Imam al-Ghazali menjelaskan jiwa yang sihat ialah jiwa yang segar apabila mendengar suara petikan biola, segar apabila melihat bunga-bunga mekar sekitar taman. Sebaliknya, jiwa yang rosak, ialah yang gagal menikmati suara petikan biola, jiwa yang tidak terhibur sekalipun dikelilingi taman yang penuh bunga-bungaan.

Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar, berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu, sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempalajari sesuatu daripadanya, adalah keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. 

Sesuatu yang berkaitan tuntutan naluri harus dipenuhi, selagi ia tidak bertentangan dengan syariat.  Aktiviti berbentuk kesenian dan kebudayaan dapat melahirkan perasaan gembira, kepuasan dan menjalin hubungan sesama manusia.

No comments:

Post a Comment