Thursday 14 December 2017

JAWATAN PEMIMPIN DIAUDIT DI AKHIRAT

Jawatan bukan batu loncatan mencari pengaruh. Bukan juga tunggangan yang dipacu deras bagi mengejar kekayaan. Ia adalah amanah yang bakal diaudit di akhirat kelak.

Itu prinsip asas dalam bicara kepemimpinan. Pun begitu manusia rakus lagi tamak sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat jawatan. Lebih parah lagi apabila ada yang sanggup menunggang agama dalam usaha mengejar jawatan.

Abdul Rahman bin Samurah menceritakan bahawa Nabi SAW bersabda: “Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah engkau meminta jawatan, kerana jika engkau diberi jawatan itu kerana permintaan, nescaya engkau diserahkan kepada jawatan itu. Tetapi kalau jawatan itu diberikan kepada engkau, tanpa permintaan, nescaya engkau akan mendapat bantuan dalam melaksanakannya. Apabila engkau bersumpah (untuk menjalankan atau meninggalkan sesuatu hal), kemudian engkau lihat ada yang lebih baik daripada itu, hendaklah engkau langgar sumpahmu itu dengan membayar kaffarah dan perbuatlah yang lebih baik.” - (Sahih Bukhari dan Muslim).

Ata bin Abi Rabah menyebut bahawa Fatimah (isteri kepada) Umar bin Abdul Aziz menceritakan padanya: “Suatu hari aku masuk bertemu dengan Umar dalam tempat solatnya sedang air mata Umar membasahi janggutnya. Aku (Fatimah) bertanya: Wahai Amirul Mukminin ada sesuatukah yang berlaku?”

Beliau menjawab: Wahai Fatimah aku bertanggungjawab terhadap umat Muhammad SAW baik yang berkulit hitam atau berkulit merah.

Lalu aku terfikir tentang nasib orang fakir yang kelaparan, orang sakit yang kehilangan, orang yang tidak berpakaian lagi susah, orang yang dizalimi lagi ditindas, orang asing yang tertawan, orang tua, orang yang mempunyai anak ramai serta harta yang sedikit dan seumpamanya di segenap penjuru bumi dan hujung negeri.

Maka aku sedar bahawa Tuhanku pasti akan menyoalku tentang mereka kelak pada hari kiamat, lalu aku sangat takut jika aku tidak mempunyai hujah (mempertahan diriku), maka (itulah yang menyebabkan) aku menangis,” - (Tarikh al-Khulafa’ oleh Imam al-Suyuti)

Setelah faham hakikat jawatan, ucaplah takziah bersama tahniah kepada sesiapa yang baru dilantik menjadi pemimpin.

Tahniah kerana Allah memberikan peluang kepada mereka untuk berbakti kepada umat dan menegakkan hukum Allah SWT atas posisi yang ditanggung.

Takziah pula sebagai suatu peringatan jika mereka gagal menjalankan amanah kepimpinan yang bakal disoal kelak.

No comments:

Post a Comment