Kampung
Gok Kapor terletak di Jajahan Kota Bharu, Negeri Kelantan. Di Daerah Dungun,
Terengganu juga ada nama Kampung Gok Kapor.
Perkataan
‘gok’ adalah merujuk sejenis dapur (relau) tempat membakar atau memanas.
Perkataan ‘kapor’ (kapur) adalah benda putih yang dibuat daripada kulit kerang
yang dibakar. Kapur digunakan untuk dimakan dengan sirih atau digunakan untuk
membersihkan bahagian perut lembu yang disembelih.
Jadi,
‘gok kapor’ adalah dapur membakar kulit kerang untuk dijadikan kapur.
Pada masa dahulu (tidak pasti sekarang ini
disebabkan ada pembangunan di kawasan berkenaan) ada gok kapur di Kampung Gok
Kapor. Sebab itu tempat itu dikenali dengan nama Kampung Gok Kapor.
Di Kampung Gok Kapor ada pasar cukup
terkenal dikenali Pasar Gok Kapor.
Lokasi Pasar Gok Kapor di Jalan Gok Kapor
yang tidak jauh dari Bulatan Gok Kapor. Pengunjung dari arah Kota Bharu yang
menggunakan Jalan Wakaf Mek Zainab perlu masuk ‘laluan pukul 9’ memasuki Jalan
Gok Kapor untuk sampai di Pasar Gok Kapor yang terletak kira-kira 100 meter di
hadapan.
Pasar Gok Kapor dibina pada sekitar tahun
2000 sebagai penempatan baharu kepada peniaga yang berniaga di kiri kanan Jalan
Gok Kapor.
Waktu berniaga di tepi jalan ketika itu
bermula pukul 5 petang sehingga 7 malam. Perniagaan mendapat sambutan terutama
daripada mereka yang singgah pulang dari tempat kerja. Paling laris ketika itu
ialah ikan segar yang diperoleh peniaga terus daripada nelayan dari Kampung
Sabak, Kampung Kuala Besar dan Kampung Kedai Buloh.
Untuk memberi tempat yang lebih selesa
kepada peniaga dan pembeli, serta pengguna jalan raya, maka pihak kerajaan
telah membina pasar khas yang kemudian dikenali Pasar Gok Kapor.
Biarpun berniaga di tempat kekal, urusan
perniagaan di Pasar Gok Kapor masih meneruskan konsep pasar petang yang mana
masa berniaga pada waktu petang sahaja. Sedikit perbezaan masa adalah waktunya
diawalkan pada pukul dua petang sehinggalah 7 malam.
Selain hasil laut segar, di Pasar Gok Kapor
juga terdapat jualan kuih, buah-buahan, keperluan dapur dan ikan kering
dihasilkan pengusaha tempatan.
No comments:
Post a Comment