Cerita sungai kotor dan air tidak selamat
untuk kegunaan umum tidak berpenghujung walaupun pelbagai kempen dan usaha
telah dilakukan.
Inilah hakikat yang terpaksa
diakui. Bilangan sungai yang ‘sudah mati’ akibat terlalu kotor dan
tercemar semakin bertambah. Memalukan apabila sungai yang dulunya air jernih
dan banyak hidupan air mendiaminya yang menjadi punca pendapatan nelayan, kini
hanya layak dipanggil longkang besar.
Kajian hidrologi mengkategorikan tiga
sumber pencemaran sungai iaitu pencemaran fizikal seperti sampah sarap,
pencemaran biologi seperti najis binatang dan pencemaran kimia yang terdiri
daripada bahan kimia terlarut.
Pemandangan sungai yang tercemar hilang
daya tarikan. Sungai yang dikaitakan dengan kedamaian dan keindahan telah
bertukar kepada menyakitkan mata dan mendatangkan bau busuk. Sungai tidak lagi
menjadi daya tarikan dan rebutan golongan kaya untuk dijadikan laman
rumah.
Sedangkan pada masa lalu, tebing sungai
dijadikan penempatan golongan kaya. Banyak istana dibina berhampiran dengan
sungai. Begitu juga, penempatan di sesuatu tempat bermula di tebing sungai
seperti dapat dilihat kebanyakan bandar besar di negara kita dan di luar
negara.
Sebaliknya kini, sungai menjadi rebutan
bagi golongan tidak berada. Kawasan tebing sungai menjadi penempatan setinggan
yang tidak menghiraukan soal bau busuk dan pemandangan tidak elok sungai kerana
mereka tidak ada banyak pilihan untuk mencari tempat yang lebih
selesa.
Penghuni tebing sungai mengambil jalan
mudah membuang sampah sarap ke dalam sungai yang dijadikan seperti tong sampah.
Tidak hairanlah jika sungai di kota dipenuhi oleh sampah yang menyebabkan
aliran air bergerak perlahan membawa sampah sehingga ke laut.
Kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan
yang besar untuk membersihkan sungai yang tercemar. Peruntukan itu
sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan lain, jika sungai-sungai di negara kita
sedia dalam keadaan bersih. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat.
Alasan pihak yang mengatakan keadaan itu
tidak dapat dielakkan memandangkan perkara itu sebahagian daripada proses
urbanisasi sebenarnya tidak boleh diterima kerana banyak sungai di negara maju
yang mengalir di tengah kota besar berada dalam keadaan bersih.
Contohnya, Sungai Thames di kota London
kekal bersih dan menjadi satu daya tarikan pelancong. Paling dekat dengan kita,
sungai-sungai di kota Singapura juga bersih, biarpun kadar urbanisasinya lebih
pesat di sana.
Di negara Eropah, mereka sepakat mengadakan
kempen ‘European Framework Directive’ yang menetapkan sasaran bagi membaik
pulih semua sungai di Eropah sehingga mencapai tahap piawaian yang seragam.
Penglibatan orang ramai secara sukarela
atas dasar kesedaran dalam usaha memulihara sungai dapat memberi kesan baik
jangka panjang. Kesedaran ini dapat membentuk satu ‘kebiasaan’, yang
kemudiannya menjadi satu budaya yang diikuti semua orang.
No comments:
Post a Comment