Tuesday, 15 March 2022

POLIMIK MAJLIS TAHLIL

 
Urusan berkaitan majlis tahlil dan kenduri arwah diperdebatkan atau menjadi polimik di kalangan sesetengah pihak. Ada tokoh agama tidak melakukan, bahkan tidak menyenangi majlis tahlil atas alasan mengambil uswah daripada Rasulullah yang tidak pernah mengadakan majlis tahlil pada zaman baginda. 

Ada yang menentang sekeras-kerasnya. Ada juga bersikap pertengahan; jika dijemput mereka raikan, jika tiada juga tidak jadi isu. Setiap kelompok ini ada dalilnya masing-masing.

Percanggahan pendapat berputar sama ada amalan kenduri tahlil ini dibolehkan atau tidak? Masing-masing bawa hujah dan pendapat dari Al-Quran, hadis, athar, qias dan lain-lain. 

Dalam sedar atau tidak, hal ini dijadikan kayu ukur bagi menilai pegangan agama individu. Adakah mereka Salafi, Wahhabi, Sufi, Syiah, Sunni dan sebagainya. Amalan label melabelkan ini juga amat memualkan sekali.

Secara bahasa, tahlil berakar dari kata hallala, yuhallilu dan tahlilan yang membawa banyak maksud. Makna yang paling hampir ialah penyembahan, penegasan, kesimpulan dan penafian. Ini diterjemahkan oleh lafaz "nafi isbat" kita melalui bacaan kalimah “Laillaha illalah. Di situlah kita menafikan 'ilah' selain Allah dan mensabitkan akidah kita denganNya.

Secara kaifiah (kaedah) amalan tahlil arwah difahami oleh masyarakat sebagai satu tradisi membaca ayat-ayat tertentu dari Al-Quran, diikuti dengan zikir berupa istighfar, selawat, tasbih, tahmid, takbir dan tahlil (kalimah tauhid).

Ritual itu ditutup dengan doa khusus dan jamuan makan. Ada juga turut memberi upah kepada ahli majlis yang hadir. Harapannya ialah agar pahala tahlil itu dapat dihadiahkan untuk orang yang meninggal dunia.

Secara positif, segala doa dan bacaan semasa tahlil boleh dijadikan 'bahan seruan' untuk mengukuhkan akidah dan meningkatkan perhambaan manusia dengan tuhannya.

No comments:

Post a Comment