Pekerja adalah mereka yang mencari rezeki secara mendapat gaji
atau upah dan tertakluk kepada peraturan tugas bagi memastikan mereka
menghasilkan mutu kerja yang memuaskan seperti diamanahkan.
Kecemerlangan pekerja awam adalah lambang kepada kejayaan kerajaan
menyediakan perkhidmatan terbaik bagi rakyat, manakala kecemerlangan pekerja
sektor swasta membawa keuntungan untuk majikan, sekaligus memberi peluang
pekerja terus bekerja.
Untuk mencapai tahap cemerlang memerlukan setiap pekerja menanam
azam, iltizam, penguasaan ilmu dan kemahiran bagi melaksanakan amanah yang
dipertanggungjawabkan kepadanya.
Pencapaian ini hanya terlaksana jika setiap pekerja mengikut
peraturan kerja, amanah, jujur, ikhlas dan melakukan yang terbaik.
Ia bukan sekadar melaksanakan tugas, tetapi adalah amanah yang
dipersoalkan di akhirat nanti. Islam tidak bertolak ansur dalam soal
kecemerlangan dan kesempurnaan melaksankan tugas oleh pekerja.
Setiap pekerja perlu sentiasa komited melakukan tugas agar
menepati piawaian terbaik yang mampu dilakukan. Pekerja yang melakukan tugasnya
dengan tekun bukan saja disukai pegawai atasan atau majikan, tetapi lebih-lebih
lagi Allah.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah amat mengasihi
seseorang apabila melakukan satu kerja, dilakukan dengan penuh tekun dan sebaik
mungkin.” (Hadis riwayat Baihaqi).
Melaksanakan amanah samalah usaha untuk menunaikan janji yang
wajib ditunaikan berdasarkan perjanjian menyerah tugas oleh majikan dan
penerimaan tugas oleh pekerja.
Pihak yang melantik pekerja telah memilih calon terbaik untuk
melaksanakan sesuatu tugas. Calon terpilih itu mungkin daripada beribu-ribu
calon lain yang turut memohon. Dengan kata lain, pemilihan calon itu ialah
dengan satu harapan dia dapat menjadi pekerja terbaik.
Pemilihan biasanya dibuat berdasarkan kepada jangkaan kebolehan
berdasarkan kelulusan akademik, soal jawab atau kaedah lain yang dilakukan
ketika proses pemilihan. Setiap amanah hendaklah diserahkan kepada orang yang
layak melaksanakannya.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu
menyerahkan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila
menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang
sebaik-baiknya kepada kamu.” - (Surah an-Nisa, ayat 58).
Malah, calon pekerja juga secara konseptual juga telah bersedia
menerima tanggungjawab sebagai pekerja, maka mereka perlu membuktikan bahawa
mereka adalah pilihan yang tepat serta bersedia melaksanakan tugas yang
diserahkan kepadanya.
Tetapi, ramai yang memohon kerja sebenarnya bukan hendak bekerja,
tetapi mengharapkan gaji. Inilah punca
ramai pekerja apabila bekerja tidak melakukan tugas dengan sempurna.
Sesiapa menerima amanah, sedangkan tidak mempunyai kesediaan untuk
melakukan yang terbaik, maka padanya ada tanda-tanda sifat munafik.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Tanda-tanda munafik itu tiga perkara,
pertama apabila seseorang itu bercakap dia sentiasa berbohong, apabila berjanji
tidak pernah ditunaikan dan apabila diamanahkan dia khianati.” - (Hadis riwayat
Bukhari, Muslim, Tarmizi dan Nasai).
Setiap pekerja tertakluk kepada peraturan kerja yang ditetapkan
oleh majikan. Gaji yang ditetapkan untuk
setiap bulan adalah setimpal dengan tugas yang diamanahkan.
No comments:
Post a Comment