Fenomena
akhir zaman banyak sekali disebut dalam al-Quran dan hadis. Hal ini menjelaskan
banyaknya cabaran terhadap keimanan kita yang melalui kehidupan semakin jauh
daripada Rasulullah SAW.
Antara
yang paling kerap ditemukan kebelakangan ini adalah kemunculan golongan
Ruwaibidhah. Ruwaibidhah ialah kalimah bahasa Arab, iaitu rabhidah yang merujuk
kepada individu lemah dan tenggelam dengan hal keduniaan.
Golongan
Ruwaibidhah kerap disebut dalam hadis, malah Rasulullah SAW mengaitkan
ruwaibidhah dengan zaman paling ditakuti.
Abu
Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Akan tiba pada manusia tahun
penuh kebohongan. Saat itu, orang bohong dianggap jujur. Orang jujur dianggap
bohong. Pengkhianat dianggap amanah. Orang amanah dianggap pengkhianat. Ketika
itu, orang Ruwaibidhah berbicara.” Ada orang bertanya: “Siapa Ruwaibidhah itu?”
Nabi menjawab, “Orang bodoh yang menguruskan urusan umum.” (HR Ibnu Majah)
Hadis
itu menerangkan dua aspek, iaitu keadaan ketika berlaku dan individu yang
berada dalam waktu berkenaan.
Pada
aspek ‘keadaan’, Nabi Muhammad SAW menyebut pada masa akan datang dunia penuh
dengan penipuan dan tipu daya.
Ini
berlaku apabila orang yang berdusta lebih dipercayai, manakala mereka yang
berkata benar ditolak dan didustakan.
Ia
zaman tipu daya apabila amanah dan tanggungjawab diserahkan kepada pengkhianat
sebaliknya mereka yang amanah pula dikhianati.
Imam
Ibnu Majah meletakkan hadis itu dalam Kitab al-Fitan (Fitnah) dan
mewujudkan bab khusus, iaitu Zaman yang Dahsyat (Syiddah al-Zaman).
Jika
ditelusuri hadis lain seumpama dengannya, kewujudan golongan Ruwaibidhah
dikaitkan dengan tanda akhir zaman.
Sebagai
contoh, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggu
datangnya kiamat.” Lalu ada bertanya, “Bagaimana amanah itu disia-siakan?”
Maka, Baginda menjawab: “Apabila suatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya,
maka tunggulah kiamat.” (HR Bukhari)
Hadis
itu menyentuh aspek amanah dikhianati dan urusan dijalankan orang yang bukan
ahlinya.
Siapakah
mereka yang termasuk definisi golongan Ruwaibidhah? Walaupun hadis tidak
menyebut secara langsung kaitan amanah dengan pemimpin, lafaz hadis terakhir,
iaitu ‘amr al-‘ammah’ merujuk kepada urusan umum atau besar. Kebiasaannya orang
yang terbabit urusan sedemikian adalah dalam kalangan orang politik.
Menjadi
pemimpin satu amanah yang besar. Jadi, dalam konteks di negara yang mengamalkan
demokrasi, tugas pengundi menentukan siapa layak menjadi pemimpin. Kegagalan
pemimpin menjalankan tanggungjawab adalah berpunca kegagalan pengundi memilih
pemimpin yang baik.
Pemilihan
tidak boleh didasarkan atas sentimen, emosi dan khabar angin sebaliknya
berasaskan fakta sebenar.
Oleh
sebab maslahah dipegang besar, maka perlu dipilih pemimpin beramanah, berakhlak
dan bertatasusila luhur, selain memiliki visi dan matlamat jelas serta utuh
dengan prinsip perjuangan.
No comments:
Post a Comment