Rasuah adalah perbuatan tidak bermoral yang
amat membahayakan keselamatan negara, keharmonian masyarakat dan kelicinan
urusan kehidupan seharian. Negara akan hancur dan huru hara jika amalan rasuah
berleluasa.
Banyak negara jatuh ke tangan kuasa asing
disebabkan berleluasanya amalan rasuah di kalangan pegawai dan kakitangan awam.
Kerajaan menjadi boneka kepada pihak yang menyogok rasuah untuk mendapat
sesuatu.
Kerajaan menanggung kerugian akibat rasuah
yang mana kos pentadbiran meningkat, sedangkan tahap perkhidmatan kepada rakyat
semakin rendah. Pendapatan kerajaan juga menurun akibat bayaran yang sepatatnya
diterima telah dinafikan penerima dan pemberi rasuah.
Perbuatan rasuah atau makan suap bukanlah perkara
baru dalam kehidupan masyarakat. Amalan tersebut telah dikesan berlaku
selewat-lewatnya 4,000 tahun lalu atau lebih awal daripada itu. Kisah dan hukum
mengenai rasuah telah disebut dalam Kitab Perjanjian Lama Injil.
Rasuah ialah perbuatan sogokan dengan wang
atau apa-apa hadiah atau manfaat sebagai ganjaran balas terhadap sesuatu hajat
atau kemahuan yang telah, sedang atau akan ditunaikan dengan cara yang tidak
sebenarnya.
Penggunaan perkataan duit kopi, hadiah,
sumbangan ikhlas, upah atas pertolongan dan duit proses sering digunakan
sebagai mengabuli mata orang ramai sebagai menghalalkan perbuatan itu.
Sesiapa dilantik menjalankan sesuatu urusan
dan dibayar gajinya oleh pihak berkuasa, perlu melakukan tugas tersebut tanpa
mengharapkan bayaran daripada pihak lain. Apa yang dilakukan sudah memadai
dengan gaji yang diterima daripada kerajaan atau majikan.
Pengertian rasuah bukan terhad kepada
menerima wang sogokan sahaja. Segala bentuk yang mempunyai ‘nilai’ seperti
kenaikan pangkat, layanan istimewa, hubungan seks, hiburan dan jamuan juga
sebahagian daripada habuan rasuah.
Sesuatu yang mempunyai hubung kait dengan
rasuah melibatkan satu pelanggaran etika kerja. Pekerja menerima rasuah
mengetepikah aturan tugas yang diamanahkan kepadanya. Dia tidak melakukan
sesuatu yang hak dan mewujudkan masalah dalam pentadbiran negara.
Perbuatan rasuah mudah berlaku di kalangan
pekerja melakukan penguatkuasa dan urusan secara langsung dengan orang ramai. Individu
melakukan kesalahan sanggup mengeluarkan sedikit wang untuk mengelak daripada
dikenakan tindakan undang-undang.
Sistem pentabiran mengamalkan birokrasi
meletakkan pegawai mempunyai kuasa penuh terhadap sesuatu urusan yang
dikendalikan yang menyebabkan amalan rasuah mudah berlaku.
Secara amnya pelanggan tidak suka kepada
sistem birokrasi yang mengambil masa dan banyak peraturan. Sebagai jalan mudah
pelanggan memberi sogokan supaya urusan dimudahkan. Pegawai yang berkuasa
memenuhi keinginan pelanggan itu mendapat habuan lumayan.
Pegawai menerima rasuah didorong perasaan
ingin mendapat wang lebih. Keperluan wang yang mendesak disebabkan cara hidup
mewah atau berbelanja melebihi kemampuan menyebabkan ramai pegawai terjebak
amalan rasuah.
Setiap pekerja yang dilantik tertakluk kepada
peraturan tugas dan memastikan mutu kerja yang memuaskan. Kecemerlangan pekerja
menjadi lambang kepada kejayaan kerajaan dan organisasi diwakili pekerja
menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Hal demikian memerlukan setiap pekerja
menanam azam dan iltizam akan melakukan tugas dengan keupayaan terbaik. Matlamat
itu hanya tercapai jika pekerja mengikut peraturan kerja, jujur, amanah dan
melakukan yang terbaik.
Sewajarnya setiap pekerja bersyukur diberikan
pekerjaan dan berpeluang untuk berkhidmat kepada negara. Gaji yang diterima di
atas kerja dilakukan hanya dianggap halal dan diberkati jika kerja tersebut
dilakukan seperti mana ditugaskan.
Pekerja tidak menjalankan tugas dengan
sempurna juga dianggap melakukan rasuah, yakni tidak amanah. Amalan mencuri
tulang, lepas tugas dan tidak bersungguh-sungguh melakukan tugas menyebabkan
mutu perkhidmatan berada pada tahap rendah.
Pekerja tidak melakukan tugas dengan
sempurna, tetapi menerima gaji penuh sebulan, samalah telah mencuri. Dia
mengambil gaji yang tidak sepadan dengan apa yang dilakukan.
No comments:
Post a Comment