Pada 2 Julai 2024, Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar membentangkan Rang
Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 untuk bacaan kali pertama
di Dewan Rakyat untuk mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) berdasarkan
manhaj akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah sebagai punca kuasa kepada Jabatan
Mufti Wilayah untuk menambah baik keberkesanan perkhidmatan institusi
berkenaan.
Ini selaras aliran ASWJ dengan berakidah
Imam al-Ashari, fiqh bermazhab Imam Shafie dengan meraikan tiga mazhab lain dan
aliran tasawuf Imam al-Ghazali.
Tradisi ini menjadi acuan dan amalan Islam
di negara kita yang perlu dijadikan pedoman dalam membuat sebarang keputusan
penting berkaitan institusi Islam.
Justeru, RUU Mufti 2024 dilihat dapat
memperkukuhkan lagi kedudukan ASWJ berteraskan pegangan al-Asyairah dan
al-Maturidiyah yang sudah sekian lama diterima pakai di negara ini.
Majoriti ulama menyatakan maksud ASWJ
adalah al-Ashairah dan al-Maturidiyah seperti dinyatakan al-Imam al-Murtada
al-Zabidi (1205) dalam kitab Ithaf al-Sadat al-Muttagin.
Maksudnya, jika dikatakan ASWJ, maka ia
adalah al-Ashairah dan al-Maturidiyah. Aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah
adalah aliran moderat dan wasati, sekali gus tidak membelakangi wahyu serta
tidak pula bertentangan dengan akal.
Begitu juga, ia tidak mudah mengkafirkan pihak
lain dan tidak pula terlalu terbuka dalam menjaga kesucian Islam.
RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 tidak
mengetepikan sistem raja berperlembagaan kerana ia termaktub dalam Seksyen 3
RUU berkenaan.
Ini kerana kuasa melantik dan membatalkan
pelantikan mufti dan timbalan mufti bagi Wilayah Persekutuan masih dengan
perkenan Yang di-Pertuan Agong, yang juga ketua agama Islam di Wilayah
Persekutuan.
Sub-seksyen 10 (3) RUU Mufti (Wilayah
Persekutuan) 2024 jelas menyebut apabila sesuatu fatwa dibincangkan
Jawatankuasa Fatwa dan dipersetujui, mufti perlu membuat syor kepada Yang
di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan baginda bagi penyiaran fatwa itu
dalam Warta.
RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 juga
hanya terpakai untuk orang Islam saja membabitkan Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Pemakaian RUU berkenaan juga tidak boleh
melangkaui negeri lain dalam Malaysia. Sub-seksyen 1 (2) RUU berkenaan dengan
jelas memperuntukkan perkara itu.
Di peringkat negeri lain, Dewan Undangan
Negeri (DUN) kekal mempunyai kuasa tersendiri dalam menentukan seperti
dinyatakan dalam Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa: Tanpa
menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya
oleh mana-mana Perkara lain, Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat
undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai
Negeri (iaitu Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) atau
Senarai Bersama..
RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 dibawa
ke Parlimen dan dinamakan akta kerana kuasa membuat undang-undang bagi Wilayah
Persekutuan terletak di bawah kuasa Parlimen, sebagaimana dinyatakan dalam
Perkara 3 (5) Perlembagaan Persekutuan dan bukan untuk pemakaian di seluruh
negara atau Sabah dan Sarawak.
Perkara 3 (5) menyebut: Walau apa pun
apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi
Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan
Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang membuat
peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi
menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai
perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.
RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024
dikemukakan bertujuan memperjelaskan dan memperkukuhkan institusi mufti dan
kefatwaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.
Ia dilihat lebih khusus kepada institusi
mufti dan kefatwaan sebagai tambahan kepada Akta Pentadbiran Undang-Undang
Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) yang mengatur hal-hal
berkaitan dengan pentadbiran undang-undang Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan
Malaysia.
Jadi, RUU ini adalah pengasingan kuasa
antara majlis agama Islam, mufti dan Mahkamah Syariah akan kelihatan lebih
jelas. Usaha yang diambil oleh kerajaan bertujuan untuk memartabatkan dan
memperkasakan institusi mufti di Wilayah Persekutuan.
Melaluinya, bidang kefatwaan dan
pembangunan hukum syarak akan dapat ditadbir secara teratur, telus serta
berwibawa ke arah meningkatkan keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam di Wilayah
Persekutuan.
RUU ini memperuntukkan sembilan bahagian
iaitu bahagian permulaan, mufti dan timbalan mufti, jawatankuasa fatwa,
pengeluaran fatwa, penentuan kiblat, jawatankuasa falak syarie, jawatankuasa
rukyah hilal, jawatankuasa pengawasan pengajaran agama Islam dan perunding
akidah dan pelbagai.
Maka, pentadbiran keadilan di bawah bidang
kuasa Mahkamah Syariah dan hukum syarak di bawah bidang kuasa mufti akan
ditadbir oleh akta berasingan.
Di Sabah dan Kedah, undang-undang
berasingan seperti RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 ini juga sudah sedia wujud iaitu masing-masing
Enakmen Fatwa Negeri Sabah 2004 dan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman)
2008.
No comments:
Post a Comment