Thursday 24 June 2021

RESIPI RINGKAS PULUT DURIAN

Makan pulut durian amat sedap. Resipi membuat pulut durian amat ringkas. Selain isi durian, bahan lain diperlukan ialah pulut, santan, sedikit gula, garam dan gula melaka. Sangat mudah dan cepat buat pulut durian. 

Penyediaan pulut boleh dilakukan dengan dua kaedah. Pertamanya ditanak sepertimana menanak nasi. Keduanya dengan cara kukus. 

Kedua-dua cara itu boleh dilakukan mengikut peralatan yang dimiliki. Biasanya orang menggunakan cara kukus untuk mengelak pulut menjadi lembik atau terlalui melekit.

Santan pula perlu disediakan sama seperti santan untuk gulai atau masakan lain. Namun, elok jika santan itu dari kelapa yang bahagian kulit luar (antara isi kelapa dengan tempurung) dikikis.

Santan itu boleh sama ada dimasak atau tidak. Untuk merasai lemak dan aroma asli, kebanyakan orang tidak memasaknya. 

Dalam santan itu dimasukkan sedikit garam. Kalau tidak suka santan, boleh guna air biasa sahaja. 

Manakala, gula dan gula melaka pula dicampurkan semasa hendak makan. Jadi, sebanyak mana gula dan gula melaka dimasukkan atau digaul bersama pulut dan santan, bergantung kepada cita rasa masing-masing. 

Sebenarnya, antara gula dan gula melaka, boleh dipilih kedua-duanya atau hanya mana satu saja. Jadi, kalau tiada gula melaka, boleh sahaja guna gula biasa. 

Gaulan durian dan pulut serta santan, mengikut cita rasa dan cara masing-masing. Ada yang suka menggaul kesemuanya sehingga sebati dan kelihatan seperti bubur.

Ada juga yang hanya menggaulkan santan dengan pulut, sedangkan durian pula dijemput atau dicampurkan bersama apabila hendak disuap ke mulut.

Selain pulut durian, isi durian juga dicampurkan di dalam pengat atau bubur untuk mendapat rasa dan aromanya.  

No comments:

Post a Comment