Friday 28 May 2021

Wajib patuhi SOP demi cegah mudarat

Umat Islam yang gagal menunaikan solat Jumaat kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mencegah penularan pandemik Covid-19 tidak dikira berdosa kerana ia termasuk dalam keuzuran dibenarkan syarak.

Namun, dalam keadaan biasa tanpa sebarang keuzuran dibenarkan syarak, meninggalkan solat Jumaat adalah satu dosa.

Mereka yang sengaja meninggalkan solat Jumaat 3 kali berturut-turut tergolong mereka yang meletakkan diri jauh dari mendapat rahmat Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa sebarang darurat maka Allah akan mengunci mati jantung hatinya.” (Hadis riwayat Nasaie)

Sebaliknya jika meninggalkan solat Jumaat disebabkan perkara yang diharuskan seperti mengelak penularan wabak, musafir, masalah kesihatan dan seumpamanya, maka tidak tergolong mereka yang dimaksudkan hadis di atas.

Mematuhi atau mentaati pemerintah dalam perkara kebaikan demi menjaga nyawa seperti SOP keselamatan atau kesihatan adalah wajib dan melanggarnya adalah berdosa.

Patuhlah apa yang ditetapkan kerajaan. Amat malang sekali apabila ada individu bukan sahaja tidak patuh SOP ditetapkan, Malah ada juga yang mengecam dan menghina pemimpin. Pemimpin telah berusaha sebaik mungkin, malangnya tidak dihargai rakyat. 

Lihatlah betapa bersungguh-sungguh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang setiap hari sepanjang setahun lalu memberi tumpuan untuk mencegah wabak Covid-19, tetapi beliau paling banyak menerima kecaman dan penghinaan dari individu yang tidak bertanggungjawab. 

No comments:

Post a Comment