Peluang
untuk berjaya ada pada semua, tidak kisah dalam apa jua usaha yang dilakukan
demi untuk kebaikan. Sudah pasti kejayaan merupakan impian semua orang. Sebagai
orang beriman, kejayaan sebenar ialah apabila dapat memasuki syurga Allah SWT
dan dapat kenikmatan melihat wajah-Nya.
Definisi kejayaan dalam hidup kita haruslah selari dengan kejayaan yang Islam inginkan. Apa sahaja usaha dilakukan demi mencapai kejayaan tidak melanggar tuntutan syariat.
Kajayaan yang dicapai di dunia jika dilakukan dengan ikhlas kerana Allah bermakna juga kejayaan untuk akhirat. Islam tidak memisahkan dunia dan akhirat. Setiap apa yang dilakukan di dunia adalah cerminan kehidupan yang bakal di lalui di akhirat.
Allah SWT menciptakan manusia dengan menjadikan bumi sebagai medan ujian. Mereka diuji untuk mengenal pasti siapa yang beriman dan siapa yang tidak beriman. Allah memberi peluang kepada kita untuk menjadi mukmin yang berjaya yang dapat memasuki syurga-Nya ataupun sebaliknya.
Untuk berjaya dalam hidup, kita perlu ada impian. Tentukan impian yang ingin dicapai kemudian yakinlah bahawa kita mampu menggapainya. Kita juga perlu berani menghadapi kegagalan.
Berapa banyak yang mencuba lagi dan lagi semata-mata untuk berjaya. Namun, kejayaan tidak kunjung tiba. Kegagalan tidak seharusnya kita berhenti mencuba dan berusaha. Sesungguhnya usaha yang tidak membuahkan kejayaan juga dianggap satu kejayaan iaitu melakukan tuntutan agama agar kita berusaha.
Pada setiap kegagalan itu ada pengajarannya. Terimalah kritikan dengan berlapang dada dan cubalah perbaiki kesilapan. Teruslah berusaha, berdoa dan bertawakkal.
Pilihlah untuk berjaya. Pilihlah untuk melakukan dengan apa yang Allah SWT perintah. Itulah kejayaan yang sebenar-benarnya.
Tingkatkan melakukan perkara baik dan tinggalkan maksiat. Perkara maksiat biarpun disukai, hakikatnya itulah kekalahan dalam perjuangan hidup.
Beruntunglah dan berjayalah orang yang menyucikan jiwanya.
No comments:
Post a Comment