Thursday, 12 July 2018

Kesan buruk gula jadi racun

Manis itu racun. Tentu sekali ramai tidak setuju kenyataan itu. Mana mungkin rasa manis jadi racun. Rasanya tidak lengkap hidup tanpa kemanisan. Apa rasanya air kopi atau teh jika tidak ditambah gula? Sirap yang tawar atau sambal tumis yang hambar. 

Setiap hari kita pasti mengambil gula sama ada dalam makanan seperti kuih-muih, lauk-pauk dan teh tarik semasa sarapan atau sirap semasa makan tengahari.

Gula sebenarnya adalah kimia tulen. Dalam menjalani pemprosesan, semua nutrisi makanan semula jadi yang asalnya terkandung di dalam tumbuhan telah dikeluarkan.

Gula yang ada di meja makan sekarang bukan lagi dalam bentuk jisim semula jadi kerana ia dikeluarkan melalui proses industri dengan melakukan penapisan sehingga menjadi sukrosa atau fruktosa tulen.

Walaupun kebanyakan gula terhasil daripada pokok tebu atau ubi bit. Semasa proses industri semua vitamin, mineral, protein, enzim dan nutrien bermanfaat yang lain dikeluarkan daripadanya.

Justeru pengambilan gula berlebihan boleh mengurangkan tahap kesihatan dengan meningkatkan tekanan darah dan paras kolestrol. Gula menjadi punca penyakit kronik seperti risiko kegagalan hati, obesiti, sakit jantung dan diabetes.

Gula dan pemanis sebenarnya amat toksik kepada badan manusia dan sepatutnya dikelaskan sebagai alkohol oleh kerajaan seluruh dunia. Komen ini diberikan sekumpulan penyelidik Universiti California, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) bertajuk The Toxic Truth About Sugar.  

Kumpulan penyelidik diketuai Profesor Dr. Robert Lustig juga pakar pediatrik menyarankan penguatkuasaan seperti cukai ke atas semua makanan dan minuman yang ditambah gula, melarang penjualan makanan bergula di dalam atau berhampiran sekolah dan letakkan had umur untuk membeli gula.

Menurut beliau, gula membawa kepada perkembangan sindrom metabolik, obesiti, meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung. Fruktosa dan sukrosa menjadi penyebab masalah ini kerana ketoksikan meningkat jika dibandingkan dengan glukosa. Sejumlah kecil kalori dalam gula, kesan negatifnya amat jelas.

Menurutnya, setelah gula memasuki aliran darah, kandungan gula dalam darah akan meningkat menyebabkan pankreas melepaskan insulin - yang diperlukan untuk mengubah gula menjadi tenaga. Apabila lebih banyak gula diambil bermakna lebih banyak insulin dilepaskan.

Setelah paras insulin yang tinggi dilepaskan, kadar gula darah mulai berkurang dengan cepat sehingga menimbulkan pelbagai masalah tidak lama selepas mengambil makanan manis.

Selain mengubah gula menjadi tenaga, insulin juga merangsang penyimpanan lemak. Akibatnya, besar kemungkinan anda akan mengalami kenaikan berat badan dengan pengeluaran insulin. Disebabkan bahaya gula, ada yang meletakkan keburukan gula setaraf dengan tembakau dan alkohol.

Misalnya di negara maju seperti AS, lebih dua pertiga daripada populasinya lebih berat badan dengan separuh daripadanya mengalami obesiti.

Menurut Dr. Robert, kira-kira 80 peratus mereka yang obes mengalami diabetes atau keadaan metabolik tidak seimbang. Malah kira-kira 75 peratus dana penjagaan kesihatan dibelanjakan bagi diet berkaitan dengan obesiti.

Di seluruh dunia, obesiti adalah masalah kesihatan paling umum dalam banyak negara dan berkaitan penyakit kronik dengan diet seperti sakit jantung, diabetes dan beberapa jenis kanser.

Kebanyakan penyelidik melihat gula bukan hanya kalori kosong tetapi juga bahan kimia yang toksik jika diambil berlebihan.

Dr. Robert membandingkan gula tambahan dengan tembakau dan gula yang toksik, membuatkan ketagih dan mempunyai kesan negatif kepada masyarakat.

Memang sukar untuk kita tidak sama sekali mengambil gula. Apa dicadangkan ialah mengurangkan pengambilan gula sehingga tahap minumun. Tanpa gula anda lebih sihat.

No comments:

Post a Comment