Islam amat menitikberatkan soal lidah atau percakapan. Walaupun mampu
bercakap dan meluahkan rasa hati melalui percakapan, ia perlu selalu diawasi
dan berhati-hati jangan sampai terpelanting ke luar batasan ajaran agama.
Setiap Muslim selalu berusaha menjaga diri dan keluarga atau masyarakatnya
daripada terjerumus ke kancah maksiat atau melakukan perkara yang mendatangkan
dosa dan kemurkaan Allah lebih-lebih lagi dalam hal percakapan.
Seorang Muslim selalunya mengeluarkan kata-kata yang baik, lembut serta
memberi manfaat kepada si pendengar kerana sedar Allah menjadikan lidah bukan
untuk berbicara sesuatu yang sia-sia, tetapi yang mendatangkan faedah bukan
saja kepada diri sendiri bahkan orang lain juga.
Firman Allah yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan
mereka kecuali bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau
berbuat makruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Siapa yang berbuat
demikian kerana mencari keredaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya
pahala yang besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 114)
Daripada ayat itu beberapa contoh yang dimaksudkan dengan perkataan yang
baik iaitu: Menyuruh manusia bersedekah sebahagian harta yang dikurniakan Allah
kepada orang yang memerlukan seperti orang miskin, anak yatim dan orang susah.
Menyuruh orang berbuat baik dalam segala hal sebagai merealisasikan tuntutan
agama di samping terlebih dulu diri sendiri melakukan kebaikan.
Mendamaikan dua pihak yang sedang bertelagah atau berbalah seperti memberi
nasihat supaya hidup berbaik-baik seperti yang terkandung dalam suruhan
Rasulullah SAW, di samping menyedarkan mereka mengenai keburukan akibat
daripada hidup berbalah, tidak bertegur sapa dan berpecah belah.
Sesungguhnya percakapan yang terkeluar daripada mulut menjadi kayu ukur
kepada keimanan seseorang. Ini dapat kita fahami daripada sabda junjungan besar
Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Tidak lurus keimanan seseorang sehingga lurus
hatinya dan tidak lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya.” (Hadis riwayat
Ahmad)
Boleh dikatakan seorang yang beriman, senantiasa mengeluarkan kata-kata
baik dan berfaedah. Orang tidak beriman pula katanya keluar mengikut rentak
nafsu atau mengikut hati yang jauh daripada hidayah. Kata-katanya kedengaran
tidak keruan, mencarut, mengejek, memfitnah dan menipu.
Lantaran itu, Islam sebagai agama paling lengkap, tinggi dan suci mengajar
manusia bukan saja sebatas ibadat dan akidah, bahkan juga akhlak termasuk
percakapan. Islam memberi panduan dalam berkata dan menjadi kewajipan bagi
setiap Muslim untuk menghayati dan mematuhinya baik dalam keadaan bagaimana
sekalipun.
Dalam pertuturan, perbualan atau percakapan, kita perlu mengikut beberapa
ketetapan antara lain: bercakap benar, bercakap perkara baik dan bercakap
menggunakan kata yang sopan dan lembut.
Kata yang lembut dan sopan dengan bahasa baik, disertai nada suara rendah
dan menawan, mempunyai tarikan tersendiri bagi orang yang mendengarnya kerana
hati akan tenteram dan apa diperkatakan mudah difahami serta mewujudkan
kemesraan.
Al-Quran menyebut saranan supaya berkata sopan dan lembut melalui firman
yang bermaksud: “Dan lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara
ialah suara keldai.” (Surah Luqman, ayat 19)
No comments:
Post a Comment