Kampung Bukit Peraksi, Mukim Cherang Ruku terletak
kira-kira 13 kilometer dari bandar Pasir Puteh. Ia terletak di Jalan Pasir
Puteh – Semerak – Kuala Besut (Terengganu).
Kampung Bukit Peraksi sebuah kampung
tradisional. Kampung ini terkenal kerana adalah sebuah bukit tunggal dikenali
Bukit Peraksi yang menjadi pusat mencerap anak bulan dalam menentukan tarikh
permulaan Ramadan, Aidilfitri dan 1 Zulhijah setiap tahun.
Puncak Bukit Peraksi telah menjadi pusat
mencerap anak bulan sejak lebih 50 tahun lalu, ketika tidak banyak lagi pusat mencerap
seperti sekarang. Jadi, nama Bukit Peraksi cukup sinonim dan terkenal sebagai
pusat mencerap anak bulan.
Selain pusat cerapan, puncak bukit dengan
ketinggian kira-kira 150 meter dari aras laut itu juga terkenal sebagai pusat
pelancongan di negeri ini. Untuk maksud pendakian awam, ia mula dibuka kepada
orang ramai pada 1980 dan dijadikan sebagai lokasi perlancongan di Kelantan.
Pemandangan dari atas puncak bukit sungguh
mengasyikkan, juga boleh disaksikan keindahan matahari terbit dari timur jika
cuaca baik. Bukit ini sebenarnya adalah di bawah seliaan Majlis Daerah Pasir
Puteh.
Berada di puncak Bukit Peraksi, pandanganya
indah sejauh pandangan ke Pulau Perhentian. Peminat matahari terbit dan
matahari terbenam tentu asyik melihat panorama yang amat menarik.
Nama-nama kampung di berhampiran Bukit
Peraksi ialah di sebelah timur pekan Cherang Ruku, di sebelah barat ialah Kampung
Besar dan Kampung Lembah, manakala di bahagian selatan ialah Kampung Golak.
Jarak dengan pinggiran Pantai Dalam Rhu dan
pelabuhan Tok Bali kira-kira 3 kilometer. Keadaan muka bumi di sini bersawah
padi. Tanahnya subur untuk pertanian dan dahulu persekitarannya ditanam dengan
tembakau. Industri ini menjadi punca rezeki kini sudah berlalu.
Ke arah barat mengalir Sungai Semerak
berkuala di Tok Bali sehingga ke Sungai Limbongan Pasir Puteh. Airnya bersih
kebiruan. Ketibaan musim banjir banjir sungai ini memberi rezeki kepada
penduduk tempatan. Udang, ketam, ikan air tawar banyak datang bersama air
banjir.
Nama Bukit Peraksi telah terkenal sebagai
pusat mencerat anak bulan, namun belum cukup terkenal sebagai lokasi hiking atau
kembara berjalan kaki. Namanya jauh ketinggalan berbanding Bukit Panau, Bukit
Marak dan Bukit Gua Kambing dan beberapa lokasi hiking terkenal di Kelantan.
Promosi kesesuaian Bukit Peraksi dijadikan
lokasi hiking perlu diwar-warkan agar lebih banyak yang menjadikan ia tempat
riadah dan menikmati keindahan alam.
No comments:
Post a Comment