Meskipun
Bahasa Melayu adalah bahasa pertama yang perlu didahulukan dalam sebarang wadah
komunikasi di negara ini, namun hakikatnya masih berlaku penggunaan bahasa campuran
atau "bahasa rojak".
Malah,
kepincangan ini turut melibatkan program rasmi yang dianjurkan oleh pihak
kerajaan, sebagai contoh, penggunaan perkataan Food Bank walhal nama program
tersebut boleh sahaja digunakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu iaitu Bank
Makanan.
Laman
sesawang, pautan dan nama-nama melibatkan kementerian dan jabatan kerajaan
dilihat lebih mementingkan perkataan Inggeris.
Nama
program atau tajuk masih banyak yang menggunakan perkataan Inggeris. Pemimpin
negara juga kerap dikesan menggunakan bahasa atau perkataan Inggeris, termasuk
ketika berbahas di Parlimen (biarpun hanya beberapa patah perkataan atau
beberapa baris ayat).
Mengapa
perkara ini berlaku? Apakah berasa hina atau tidak hebat jika tidak menyelit
perkataan Inggeris dalam tulisan atau bercakap?
Penggunaan
bahasa campuran dalam sebarang majlis atau program rasmi kerajaan, berlaku
akibat sikap tidak kreatif dan inovatif pihak terbabit dalam memperkaya dan
memperkasakan bahasa.
Dari
penggunaan istilah, sebenarnya bahasa Melayu merupakan bahasa yang dinamik.
Bahasa yang wujud pada hari ini tanpa kita sedar, juga menerima pengaruh bahasa
luar, ada bahasa Sanskrit, Tamil dan Belanda.
Bahasa
yang berkembang baik adalah bahasa yang boleh memanfaatkan situasi semasa pada
masa sama mengekalkan kewibawaan atau authority bahasa itu sendiri.
Dari
segi kesan bahasa campuran kepada masyarakat, ia memberikan contoh tidak baik
kepada masyarakat termasuk kanak-kanak sekolah rendah, sekolah menengah serta
penuntut universiti berikutan penggunaan bahasa campuran itu yang mencerminkan
kecelaruan pemikiran, kecelaruan sikap penganjur itu sendiri atau pihak
berkuasa.
Apabila
ia dilakukan secara rasmi, ia memberikan pengaruh yang buruk kepada anak muda
sebab bagi mereka bila mereka melihat penganjuran secara rasmi bahasanya
bercampur aduk, bahasa rojak jadi mereka melihat pihak penganjur dari
agensi kerajaan bersikap sedemikian,
Maka
anak muda terpengaruh, terikut-ikut seolah-olah memberikan teladan kepada
mereka dan ini lah yang menjadi punca penggunaan bahasa di Twitter, Facebook,
WhatsApp, bercampur aduk sebab mereka anggap perkara ini betul, dibenarkan dan
tidak bertentangan dengan dasar kerajaan sebab yang buat program sebegitu itu
adalah dari pihak kerajaan.
No comments:
Post a Comment